JOHANNESBURG, 9 JULAI – Seorang pelancong Sepanyol mati dipijak gajah selepas keluar dari kenderaannya untuk mengambil gambar kawanan haiwan itu di taman Afrika Selatan yang terkenal, kata pihak berkuasa pada hari ini.
Lelaki berusia 43 tahun itu diserang pada pagi Ahad di Taman Negara Pilanesberg, tarikan pelancong kira-kira 200 kilometer ke barat laut Johannesburg, menurut pegawai-pegawai taman.
Lelaki itu bersama tunangnya dan dua wanita lain sedang memandu kenderaan mereka sendiri di dalam taman itu apabila mereka ternampak tiga ekor gajah dan tiga anak gajah, kata polis.
“Laporan-laporan mencadangkan lelaki itu memberhentikan kenderaan, turun dan menghampiri gajah-gajah berkenaan untuk mengambil gambar,” kata jurucakap polis, Sabata Mokgwabone.
“Gajah-gajah itu dikatakan menyerang dan membunuhnya.”
Pieter Nel, ketua pegawai pemuliharaan di Lembaga Taman dan Pelancongan wilayah Barat Laut, berkata gajah betina dalam kawanan itu menyerang apabila ‘gelisah’ selepas melihat pelancong itu mendekati.
Ia adalah ‘naluri biasa’ bagi gajah yang cuba ‘melindungi anaknya,’ tambahnya. – AFP


