Thursday, November 21, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancong tabur abu manusia di tapak bersejarah undang kecaman

    LIMA, 20 NOV – Pihak berkuasa Peru kelmarin mengumumkan langkah untuk memperketat kawalan keselamatan di tapak purba Machu Picchu selepas tularnya video pelancong menaburkan apa yang dipercayai abu manusia di kawasan tersebut.

    Minggu lalu, rakyat Peru berang selepas sebuah video tidak bertarikh dimuat naik ke TikTok, memaparkan seorang wanita mengambil abu dari beg plastik dan menyebarkannya di udara sebelum memeluk seorang wanita lain di lokasi pelancongan itu.

    Video tersebut disertakan kapsyen ‘mengucapkan selamat tinggal dengan penuh kasih di Machu Picchu’ dan tanda pagar dengan kata-kata ‘abu’ dan ‘menyebar abu’.

    Video berdurasi 30 saat itu pertama kali dimuat naik ke akaun @IncaGoExpeditions, milik sebuah agensi pelancongan, sebelum ia dipadamkan dari TikTok.

    Ketua taman arkeologi Machu Picchu, Cesar Medina, memberitahu AFP pihak berkuasa akan menambah bilangan pengawal keselamatan dan memasang lebih banyak kamera pengawasan.

    Beliau turut menjelaskan bahawa tiada undang-undang tempatan yang melarang perbuatan menyebarkan abu manusia di tempat awam. Bagaimanapun, tindakan itu kini akan dilarang di Machu Picchu atas faktor kesihatan, katanya.

    Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu menerima purata 5,600 pengunjung sehari, namun sehingga kini hanya mempunyai empat kamera pengawasan dan jumlah pasukan pengawal keselamatan yang kecil.

    Tapak purba itu, yang dibina pada abad ke-15 oleh Maharaja Inca Pachacuti, terletak pada ketinggian 2,438 meter di Pergunungan Andes Peru. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda