KYOTO, 14 JAN – Pihak berkuasa Kyoto di Jepun hari ini mengumumkan rancangan untuk menaikkan cukai penginapan hotel secara besar-besaran sebagai langkah untuk menangani rungutan penduduk tempatan mengenai jumlah pelancong yang terlalu ramai.
Jepun mencatatkan lonjakan ketibaan pelancong asing pasca pandemik dengan jumlah pelawat pada 2024 dijangka mencecah rekod melebihi 35 juta orang.
Seperti destinasi lain di seluruh dunia seperti Venice, Itali atau Maya Bay di Thailand, perkara itu tidak disambut baik oleh semua pihak, khususnya di Kyoto yang kaya dengan tradisi, terkenal dengan ‘geisha berkimono’ dan kuil Buddha.
Bagi bilik di Kyoto yang berharga antara 20,000 hingga 50,000 yen (AS$127-AS$317) semalam, pelawat akan melihat cukai mereka berganda kepada 1,000 yen (AS$6.35) seorang untuk setiap malam, menurut rancangan yang diumumkan hari ini.
Untuk penginapan yang melebihi 100,000 yen semalam, cukai akan meningkat sepuluh kali ganda kepada 10,000 yen.

Bagaimanapun, cukai baharu berkenaan dijangka berkuat kuasa tahun depan, tertakluk kepada kelulusan dari dewan bandar raya.
“Kami berhasrat untuk menaikkan cukai penginapan bagi merealisasikan pelancongan mampan yang memberikan kepuasan tinggi kepada warga tempatan, pelancong dan perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Dari Tokyo hingga Osaka dan Fukuoka, bandar-bandar besar lain di Jepun sudah mengenakan cukai pelancongan beberapa ratus yen untuk satu malam menginap di hotel.
Penduduk Kyoto tidak selesa tindakan pelancong yang mengganggu geisha seperti paparazi dalam keghairahan mereka mengambil gambar untuk memukau pengikut di Instagram.
Ketegangan adalah paling tinggi di daerah Gion, lokasi kedai teh di mana ‘geiko’ dengan komuniti tempatan mengenalinya sebagai geisha dan perantisnya, ‘maiko’ membuat persembahan tarian tradisional dan alat muzik.
Tahun lalu, pihak berkuasa mengambil langkah untuk melarang pelawat memasuki lorong-lorong sempit tertentu yang bersifat peribadi di Gion selepas menerima tekanan daripada majlis penduduk setempat.
Seorang anggota majlis sebelum ini memberitahu media Jepun mengenai insiden di mana kimono seorang maiko terkoyak dan satu lagi kejadian puntung rokok dimasukkan dalam kolar pakaian tradisional mereka. – AFP