Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancong terselamat selepas hanyut di Labuan Bajo

    JAKARTA, 30 JUN – Seorang pelancong Malaysia yang dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti snorkel di perairan Pulau Gili Lawa, Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, ditemukan selamat kelmarin.

    Dalam video yang dikeluarkan oleh agensi mencari dan menyelamat nasional Indonesia (Basarnas), Amirah Bazil, 35, dilihat memberi isyarat meminta pertolongan dari kawasan perairan cetek berhampiran Gili Lawa sebelum dibantu naik ke bot penyelamat.

    “Beliau sedang melakukan aktiviti snorkel bersama rakan-rakan pada awal pagi kelmarin, sebelum terpisah daripada kumpulan akibat arus deras,” kata Ketua Basarnas Maumere, Fathur Rahman dalam satu kenyataan.

    Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan segera digerakkan dari Pos SAR Manggarai Barat selepas menerima laporan kejadian sekitar 6:45 pagi.

    Namun, sebelum pasukan penyelamat tiba, sebuah bot laju yang melalui kawasan berkenaan, Fenides, mengesan Amirahberhampiran pantai dan membawanya ke bot Sea More Papua iaitu sebuah bot yang menjadi hos kepada trip menyelam mereka.

    “Beliau ditemukan dalam keadaan sedar, tidak cedera dan tersenyum apabila pasukan kami tiba di bot berkenaan. Beliau merancang untuk meneruskan percutian di kawasan Labuan Bajo,” tambah Fathur.

    Pihak berkuasa memuji tindakan pantas yang berjaya menyelamatkan mangsa hasil kerjasama antara pasukan SAR dan kru bot tempatan yang beroperasi di kawasan berkenaan. Labuan Bajo yang terletak dalam kawasan Taman Negara Komodo terkenal sebagai destinasi selam skuba dengan airnya yang jernih dan arus laut yang kuat.

    Perkara itu merupakan kejayaan operasi penyelamatan kedua membabitkan rakyat Malaysia bulan ini, selepas seorang pendaki Malaysia berjaya diselamatkan pada Jumaat lalu selepas tergelincir ketika menuruni Danau Segara Anak di Gunung Rinjani, Lombok, Nusa Tenggara Barat. – Bernama

    Gambar fail ini menunjukkan pemandangan Labuan Bajo yang terletak di Indonesia, pada 8 Mei 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda