Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Kemeriahan suasana Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara hari ini menyaksikan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk hadir pada majlis berkenaan yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) di ibu negara, bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-78.
Dalam kegembiraan dan kemeriahan itu, media berpeluang menemui beberapa orang pelancong luar yang kebetulan sedang berada di negara ini.
Pelancongan dari Itali, Luca dan isterinya ketika ditemui telah berkongsi perasaan gembira dan teruja beliau melihat suasana yang penuh warna-warni dan memperlihatkan keunikan budaya negara ini.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai dengan majlis ramah mesra berkenaan dan tidak merancang untuk menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan mencemar duli bersama rakyat di padang Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada pagi hari ini.
Katanya lagi, “Hari ini adalah hari terakhir saya berada di negara ini dan lawatan ke negara ini juga adalah yang kali yang pertama dan saya berharap akan berpeluang lagi datang pada masa akan datang.”
Sepanjang berada di negara ini, selain berpeluang mengunjungi tempat menarik dan bersejarah di negara ini, beliau juga berpeluang mencuba makanan tradisional Brunei dan juga mencuba makan durian kuning, yang mana menurutnya adalah satu pengalaman baharu.
Manakala Stephane, Emma dan Wayan, yang merupakan pelancong dari Perancis, pula mengongsikan bahawa majlis tersebut adalah yang kali yang pertama bagi mereka menghadiri acara seumpamanya.
Beliau yang sudah berada di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara itu seawal pukul 7 pagi dan sudah berpeluang merakamkan beberapa gambar menarik untuk dijadikan kenang-kenangan dan juga mengongsikan pengalaman beliau menghadiri acara kemeriahan negara ini kepada keluarga dan juga rakan-rakan.