Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Seorang pelancong dari West Yorkshire, England, Mohamad Majid, menyatakan rasa teruja dan kagum apabila berpeluang menyaksikan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Padang Haji Sir Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini.
Menurut beliau, peluang menyaksikan sendiri kemesraan dan hubungan erat antara raja dan rakyat di Brunei Darussalam merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Saya berasa sangat terharu melihat bagaimana rakyat Brunei menunjukkan kasih dan hormat kepada Sultan mereka, dan ia sesuatu yang luar biasa dan mencerminkan keperibadian Baginda sebagai pemimpin yang sangat dekat di hati rakyat,” katanya ketika ditemui Media Permata.
Sebagai seorang Muslim dari Britain, Mohamad Majid turut menzahirkan rasa kagum terhadap nilai-nilai Islam, adat Melayu dan semangat kebangsaan yang jelas terserlah sepanjang majlis berlangsung.

“Saya dapat melihat perpaduan dan keharmonian yang sangat tinggi dalam masyarakat Brunei di mana semua hadir dengan wajah ceria, tanpa mengira usia atau latar belakang dan ini benar-benar mencerminkan nilai Islam yang indah,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang aman, bersih dan penuh dengan nilai sopan santun, serta menganggap pengalamannya berada di negara ini sebagai sesuatu yang akan dikenang sepanjang hayat.
Sementara Pasangan pelancong dari Portugal, Diogo dan Barbara turut berkongsi perasaan teruja dan bertuah kerana berpeluang menyaksikan secara dekat majlis ramah mesra bersama rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.

Diogo ketika ditemu bual berkata, beliau amat kagum melihat sambutan rakyat yang penuh semangat dan tertib, sambil menzahirkan rasa hormat yang tinggi kepada baginda Sultan.
“Suasana di sini sangat istimewa, semua orang kelihatan gembira dan bersatu. Ia menunjukkan betapa kuatnya hubungan antara rakyat dan pemimpin mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Barbara turut berkongsi keterujaan menyaksikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sambil menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang tidak akan dilupakan sepanjang kunjungan mereka ke Brunei Darussalam.
“Kami tidak menyangka akan berpeluang melihat baginda Sultan secara langsung. Tradisi dan adat istiadat yang ditunjukkan di sini sangat indah,” katanya.
Kedua-dua mereka turut memuji kebersihan kawasan taman serta keindahan suasana persekitaran yang menggambarkan nilai budaya dan keharmonian rakyat Brunei Darussalam.

