Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancongan agenda penting ASEAN

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Pembangunan dan perkembangan sektor pelancongan merupakan satu agenda yang penting bagi negara-negara anggota ASEAN di mana setiap negara anggota mempunyai badan kerajaan yang bertanggungjawab untuk mentadbir dan mempromosikan pembangunan pelancongan.

    Pada masa yang sama, setiap negara juga melihat bahawa budaya dan warisan sebagai elemen penting dalam aktiviti pelancongan masing-masing baik daripada segi pelancong domestik mahupun pelancong antarabangsa.

    Sehubungan itu, bagi mengembangkan lagi sektor pelancongan bagi ASEAN, ia harus dipasarkan sebagai sebuah destinasi yang mempunyai pendekatan yang baru dan inovatif ke arah pembangunan produk dan pemasarannya.

    Pendapat itu dikongsi oleh Profesor Pengajian Borneo, Institut Pengajian Asia, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Victor T. King ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘ASEAN and Tourism: The ASEAN and Borneo Context’ pada Persidangan dan Pameran Pelancongan Antarabangsa di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian persidangan dan pameran berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyempurnakan perasmian Persidangan dan Pameran Pelancongan Antarabangsa di UBD kelmarin.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai dengan para pembentang dan tetamu khas di Persidangan dan Pameran Pelancongan Antarabangsa di UBD.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz, pesuruhjaya tinggi dan duta negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan UBD, peserta persidangan serta jemputan khas.

    Profesor Victor King dalam ucapannya ketika menyentuh mengenai dengan pelancongan di Brunei berkata bahawa negara memberikan penekanan kepada pelancongan khusus iaitu kepada ekopelancongan dan kebudayaan.

    Beliau juga berkata bahawa sebilangan besar pelancong yang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam ialah pelancong dari negara-negara Asia dan jumlah pelancong berkenaan dianggarkan akan meningkat kepada 435,000 menjelang 2025.

    Beliau turut percaya bahawa sector pelancongan di Borneo akan terus meningkat termasuk industri pelancongan Brunei tetapi turut mencadangkan supaya Brunei dapat membangunkan pakej ekopelancongan bersama Sabah dan Sarawak yang mempunyai sektor pelancongan yang teratur.

    Terdahulu sebelum itu, Pengerusi Persidangan dan Pameran Pelancongan Antarabangsa, Dayangku Dr. Noor Hasharina binti Pengiran Haji Hassan dalam kata alu-aluannya menyatakan persidangan dan pameran dengan tema ‘Tourism and Heritage: The ASEAN dan Borneo Context’ itu menyediakan platform dan peluang kepada wakil-wakil daripada industri pelancongan untuk berinteraksi dengan pakar dalam penyelidikan pelancongan di UBD serta institusi lain untuk membincangkan mengenai perkembangan dan trend pelancongan terkini.

    Di samping itu, ia juga diharap dapat menyediakan platform untuk membantu dalam mengembangkan lagi sektor pelancongan di Brunei dan dalam semangat kerjasama serantau, membantu dalam perkembangan sektor pelancongan di negara-negara jiran Borneo.

    Persidangan dan pameran selama dua hari hingga esok itu mengetengahkan pembentangan kertas kerja oleh pembentang-pembentang dari dalam dan luar negara yang merangkumi pemain dan penyelidikan industri pelancongan.

    Pembentangan kertas-kertas kerja berkenaan dibahagikan mengikut sesi, di mana setiap sesi mempunyai topik utama termasuk pelancongan dalam agenda pembangunan, perancangan inovatif/ strategi bagi pelancongan mampan, perspektif untuk mempromosikan pelancongan, pelancongan khusus, pemuliharaan identiti dan warisan, pelajaran untuk pembangunan dan perancangan pelancongan serta trend dalam ekopelancongan dan pelancongan kebudayaan dalam zaman digital.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda