ISTANBUL, 16 APRIL – Pelancongan belon udara panas Turkiye mencatat rekod baharu dengan 933,195 pelancong menaiki belon udara panas pada 2024, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa pada hari ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 2023, menurut statistik Direktorat Jeneral Penerbangan Awam di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infrastruktur.
Sebanyak 43,283 penerbangan belon direkodkan di tujuh lokasi utama, termasuk Cappadocia di tengah Anatolia yang terkenal dengan tarikan formasi batu unik dikenali sebagai ‘fairy chimneys’ dan kediaman gua purbanya, selain ‘Istana Kapas’ Pamukkale, di wilayah Denizli, barat daya Turkiye.
Direktorat Jeneral kini sedang menilai permohonan daripada agensi pelancongan bagi membenarkan penerbangan di kawasan baharu dan menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi yang dicadangkan bagi memastikan operasi dijalankan secara selamat.
Syarikat Butterfly Balloons di Cappadocia memberitahu Xinhua, cabaran utama untuk menambah lokasi baharu dalam jadual penerbangan ialah keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Penerbangan belon udara panas amat bergantung kepada keadaan cuaca, dengan angin kencang, hujan, kabus dan gangguan haba menjadi antara faktor utama yang boleh menyebabkan pembatalan penerbangan,” menurut syarikat itu.
Ketika ini, terdapat 71 pengendali berlesen di seluruh negara, dengan operasi melibatkan 441 belon udara panas. – Bernama
