Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Negara belum lagi membuka sempadan dan membenarkan pelancong dari luar untuk datang ke Brunei, oleh itu, seperti tahun lepas, tumpuan diberikan kepada pelancong dalam negara.
Jika membiarkan industri pelancongan negara terkesan secara negatif oleh ketiadaan pelancong asing, mungkin kesannya akan menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan.
“Dalam usaha untuk mengelak perkara tersebut, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) telah mengatur strategi untuk memastikan produk negara sesuai dengan permintaan pelancongan dalam negara.”
Perkara itu ditekan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelan-congan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong ketika mengulas persoalan media semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan.
Katanya lagi, “tumpuan yang banyak diberikan daripada segi makanan atau pesta makanan di mana pada 2020, kita telah mengadakan kempen pelancongan bertajuk ‘Brunei Seleraku’ dan ini masih dikekalkan untuk Festival Disember Brunei (BDF) tahun ini”.
Beliau seterusnya menambah, tumpuan semua daerah yang menjadi destinasi pelancongan itu akan menawarkan jenis makanan unik bagi daerah atau kampung masing-masing.
Di samping itu, JKP turut menekankan kebersihan daripada segi tempat pelancongan dan peningkatan sektor perkhidmatan yang ditawarkan.
KSSUP dan JKP, jelas beliau, mengadakan beberapa kursus bagi meningkatkan tahap perkhidmatan dari hotel, restoran dan agen pelancongan untuk memastikan mereka memberi perkhidmatan yang bagus.
Beliau berharap pengendali perkhidmatan hotel, restoran dan ejen pelancongan ini lebih bersedia awal dengan strategi yang telah dibuat sebelum sempadan dibuka nanti.