Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jab. Kemajuan Pelancongan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Sebagai usaha untuk mempromosikan lagi kempen pelancongan domestik, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan meneruskan Kempen Kenali Negara Kitani (KNK) dengan menyertai Festival PMKS anjuran Darussalam Enterprise (DARe) di BRIDEX Jerudong bermula kelmarin hingga 19 Mac.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, penglibatan mereka dalam acara berkenaan adalah untuk mempromosikan kempen pelancongan domestik sebagai persediaan awal bagi orang ramai mengisi masa lapang bersama keluarga dan rakan sewaktu musim cuti penggal persekolahan pada April nanti.
Melalui kempen itu, orang ramai dapat mengetahui pelbagai produk dan aktiviti pelancongan domestik yang akan ditawarkan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan.
Oleh itu, orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke festival berkenaan dan mengambil peluang bagi mendapatkan tawaran menarik serta menyokong pengusaha dan penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan.
Antara penyedia perkhidmatan pelancongan yang turut serta dalam acara berkenaan ialah Jerudong Park Country Club, Makmal Tenaga Seria (SEL), Labi Coffee Farm, Angkasa Oud Agarwood Company, Poni Divers Group dan beberapa buah hotel di bawah Persatuan Hotel Brunei (BAH).
Syarikat-syarikat yang terlibat akan mempromosikan pelbagai pakej pelancongan menarik sesuai bagi setiap peringkat umur seperti aktiviti pelancongan berasaskan komuniti, staycation dan banyak lagi.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya KNK Mix & Match dan KNK Quiz untuk orang ramai dan pengunjung di petak pameran Jabatan Kemajuan Pelancongan.
Untuk maklumat lanjut, bolehlah layari laman sesawang www.bruneitourism.com atau Instagram, @info.bruneitourism.