Pelancongan global alami kerugian lebih as$300 bilion – PBB

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 25 OGOS – Industri pelancongan global kini berdepan ketidakstabilan akibat wabak koronavirus, dengan kerugian eksport dicatatkan sebanyak AS$320 bilion dalam lima bulan pertama tahun ini dan lebih daripada 120 juta pekerjaan berdepan risiko, kata ketua PBB hari ini.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengatakan dalam persidangan video bahawa pelancongan adalah sektor eksport ketiga terbesar ekonomi global, di belakang sektor minyak dan bahan kimia, dan pada tahun 2019 menyumbang tujuh peratus perdagangan global.

“Ia menggaji satu dari setiap 10 orang di dunia dan memberi sumber pendapatan sehingga ratusan juta,” katanya.

Di samping dapat meningkatkan ekonomi, sektor pelancongan juga memberikan penduduk di dunia ini satu pengalaman dalam mempelajari kebudayaan dan kekayaan alam semula jadi, sekali gus dapat menyatupadukan masyarakat dan memberikan rasa kemanusiaan sesama kita,” tambahnya.

Bagaimanapun ketua PBB mengatakan bahawa dalam lima bulan pertama tahun 2020, akibat penularan pandemik, ketibaan pelancong antarabangsa menurun lebih daripada separuh dan pendapatan merosot.

Guterres berkata ia merupakan satu kejutan besar bagi negara-negara maju yang lebih kaya, sementara bagi negara-negara membangun pula, jelasnya ia satu keadaan darurat terutama bagi kebanyakan negara-negara membangun dan negara-negara Afrika.

Pelancongan di beberapa negara tersebut mewakili lebih daripada 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka, jelasnya.

Sandra Carvao, ketua Organisasi Pelancongan Dunia PBB untuk pasaran perkhidmatan dan daya saing berkata bahawa kerugian sebanyak AS$320 bilion dalam eksport dari Januari hingga Mei adalah tiga kali ganda dari kerugian yang dialami pada tahun 2009 pada puncak krisis kewangan global terakhir.

Dan menurut satu taklimat dasar, “pendapatan eksport daripada pelancongan mungkin akan menurun AS$910 bilion sehingga AS$1.2 triliun pada tahun ini dan ia dilihat akan menurunkan KDNK global sebanyak 1.5 peratus kepada 2.8 peratus.”

Selain pekerjaan pelancongan yang berisiko, sektor pekerjaan lain yang berkaitan seperti perkhidmatan penyedia makanan yang menggajikan 144 juta pekerja di seluruh dunia juga berdepan risiko kehilangan pekerjaan. Guterres mengatakan pelancongan juga merupakan tonggak utama untuk pemuliharaan warisan semula jadi dan budaya, di mana sekitar tujuh peratus pelancongan dunia berkaitan dengan hidupan liar. – AP

Guterres berkata industri pelancongan global kini berdepan dengan ketidakstabilan akibat wabak koronavirus, dengan kerugian eksport dicatatkan sebanyak AS$320 bilion dalam lima bulan pertama. – AFP