MADRID, 16 SEPT – Krisis COVID-19 mengakibatkan sektor pelancongan global kerugian pendapatan hingga AS$460 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berikutan bilangan orang yang melakukan perjalanan merudum, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Menurut Pertubuhan Pelancongan Sedunia yang berpangkalan di sini, jumlah kerugian pendapatan antara Januari hingga Jun lalu itu adalah kira-kira lima kali ganda kerugian direkodkan pelancongan antarabangsa pada 2009 ketika krisis kewangan dan ekonomi global.
Katanya, ketibaan pelancong antarabangsa merosot sebanyak 440 juta sepanjang tempoh itu yang menyaksikan Asia muncul rantau pertama terkesan dengan impak wabak berkenaan apabila mencatatkan penurunan paling menjunam.
“Ia menunjukkan penurunan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, seiring langkah negara di serata dunia menutup sempadan masing-masing dan melaksanakan sekatan perjalanan sebagai tindak balas terhadap pandemik itu,” menurut pertubuhan berkenaan.
Walaupun pelancongan ke beberapa destinasi beroperasi semula secara perlahan-lahan, agensi PBB itu memberi amaran bahawa ‘kekurangan permintaan serta keyakinan pengguna’ akan terus menjejaskan sektor berkenaan hingga akhir tahun ini.
Ia meramalkan ketibaan pelancong antarabangsa akan merosot kira-kira 70 peratus tahun ini akibat COVID-19.
Agensi PBB itu berkata, pemulihan ketibaan pelancong untuk kembali ke tahap seperti 2019 dijangka mengambil masa dua hingga empat tahun. – AFP