Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Pelancongan halal terap budaya Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Berdasarkan beberapa kajian mengenai perkembangan aktiviti pelancongan dan hospitaliti Islam yang berkonsepkan halalan thayyiban, tidak dapat dinafikan bahawa ia sesuatu yang berkait rapat dengan syariat Islam.

    Justeru, aktiviti pelancongan dan hospitaliti Islam bukanlah sesuatu yang hanya memusatkan kepada hal-hal berkaitan keperluan perjalanan, pelayaran, percutian dan permukiman seseorang Muslim di sesebuah negara, malah antara yang didapati hasil beberapa kajian tersebut adalah penerapan nilai-nilai dan budaya serta komitmen terhadap kehendak syarak merupakan sesuatu keutamaan.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong menambah, hal itu bertepatan sekali dengan sejarah Baginda Rasulullah SAW ketika berhijrah disantuni oleh para penduduk Madinah.

    “Dari kisah Rasulullah SAW ini dapatlah kita garap bahawa nilai-nilai pelancongan dan hospitaliti Islam itu termasuklah mempertahankan budaya Islam degan menghormati tetamu, iaitu pelancong yang datang ke negara kita, kerana budaya Islam budaya yang mematuhi ajaran Islam,” ujar beliau lagi semasa menyampaikan ucaptama pada Seminar Antarabangsa mengenai Pelancongan Halal dan Hospitaliti (ISHTaH) yang berlangsung secara hibrid di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Yang Berhormat Dato berkata, strategi dan pendekatan sejarah dari penghijrahan Baginda Rasulullah SAW itu perlulah dijadikan contoh dan tauladan selain melahirkan rasa yakin terhadap hal tersebut yang akan membawa keuntungan luar biasa terhadap apa jua produk dan perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan di negara ini.

    Menurut beliau lagi, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan telah mengungkayahkan latihan Islamic Values on Customer Service bagi para petugas industri pelancongan seperti petugas restoran, perhotelan, pemandu pelancong dan ejen-ejen pelancongan.

    Beliau juga berharap, melalui latihan itu peserta dapat meneroka asas perkhidmatan pelanggan mengikut prinsip dan nilai Islam serta mengukuhkan kemahiran dan pengetahuan dalam mengendalikan pelancong-pelancong dengan menerapkan nilai-nilai Islam dan sifat keBruneian yang ramah dan bersopan-santun.

    Selain itu, beliau turut mengongsikan objektif penerapan nilai-nilai Islam dalam pemberian perkhidmatan pelancongan, antaranya untuk memberikan pendedahan kepada petugas industri pelancongan Negara Brunei Darussalam agar mereka sentiasa memberikan layanan dan penghormatan terbaik kepada tetamu.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa menghadiri ISHTaH yang berlangsung secara hibrid di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...