Sunday, February 9, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancongan Indonesia catat peningkatan pada 2024

    JAKARTA, 9 FEB – Indonesia menerima ketibaan 13.9 juta pelancong asing pada 2024, mencatat peningkatan ketara berbanding 11.68 juta pelawat pada 2023, menurut kenyataan Kementerian Pelancongan pada Sabtu, lapor Xinhua.

    Menteri Pelancongan, Widiyanti Putri menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil dasar berkesan yang dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

    “Dalam tempoh 100 hari pertama, kerajaan berjaya mengekalkan pertumbuhan kedatangan pelancong asing, yang terus meningkat berbanding tempoh sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan itu.

    Beliau berkata kestabilan politik dan sosial di Indonesia, serta kepelbagaian produk pelancongan berasaskan alam semula jadi, menjadikan negara ini destinasi yang selamat dan menarik bagi pelawat antarabangsa.

    Menurut data Badan Pusat Statistik (BPS), majoriti pelancong asing yang berkunjung ke Indonesia pada 2024 datang dari Malaysia, diikuti Australia, Singapura, China, dan Timor-Leste.  

    Pemangku Ketua BPS, Amalia Adininggar Widyasanti memaklumkan bahawa perbelanjaan purata setiap pelancong sepanjang lawatan mereka di Indonesia adalah sekitar AS$1,391, dengan sebahagian besar dibelanjakan untuk penginapan, makanan, dan minuman. – Bernama/Xinhua 

    Politik dan sosial yang stabil serta kepelbagaian produk pelancongan berasaskan alam semula jadi, menjadikan Indonesia selamat dan menarik. – Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda