Pelancongan, rentas negeri dibenar jika 90% vaksinasi dicapai

KUALA LUMPUR, 22 SEPT – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan pembukaan pusat, pulau dan kawasan pelancongan, serta aktiviti rentas negeri apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata sasaran 90 peratus itu dijangka dapat dicapai dalam masa dua hingga tiga minggu sahaja lagi.

“Saya percaya, ramai yang sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung berjumpa dengan keluarga setelah sekian lama. Saya yakin, dengan adanya kelonggaran-kelonggaran ini, kita dapat mengembalikan kecemerlangan ekonomi negara tidak lama lagi. Namun, dalam usaha ini, kita juga hendaklah sentiasa peka dan saling menjaga keselamatan diri dan Keluarga Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam beliau mengumumkan 80 peratus populasi dewasa di negara ini telah lengkap divaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Terdahulu, dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata mesyuarat turut bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi tiga negeri berkuat kuasa Jumaat ini iaitu Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Empat, Pahang beralih ke Fasa Tiga dan Johor pula bakal memasuki Fasa Dua.

Suasana di sekitar Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) lengang ketika tinjauan di Dewan Komuniti Kajang Utama, Jalan Tenteram 4 pada 22 September. PICK mencapai sasaran awal apabila 80 peratus populasi dewasa di Malaysia telah lengkap vaksinasi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Bernama

Menurut Ismail Sabri, prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki Fasa Dua, Tiga dan Empat, adalah sama seperti sebelum ini dan keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawangnya.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat hari ini turut memutuskan ketetapan lain termasuk membenarkan kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 malam berkuat kuasa esok.

Selain itu, operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober.

“Pusat, premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling (selam permukaan), selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Oktober dengan semua pengusaha, operator, pelawat dan pengunjung lengkap divaksin,” katanya.

Mengenai kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi, Ismail Sabri berkata mereka dibenarkan hadir dengan kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

Ismail Sabri berkata mesyuarat juga menetapkan warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma.

“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab. Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya. – Bernama