CUZCO – Efrain Valles yang sebelum ini pernah membawa pemimpin dunia, bintang pop dan seorang ratu dalam jelajah eksklusif melalui negeri Incas, kini terpaksa membuat aiskrim untuk meneruskan kelangsungan hidup di tengah-tengah pandemik koronavirus.
Valles, yang dahulunya seorang pemandu pelancong yang sering dicari-cari di tanah tinggi Cuzco di banjaran Peru, adalah salah seorang dari 1.3 juta penduduk di seluruh negara yang dari industri pelancongan yang terkesan dengan koronavirus dan langkah-langkah ketat yang dikenakan untuk melawan penularan virus, termasuk sekatan perjalanan antarabangsa.
Cuzco, sebuah ibu kota bersejarah kerajaan Incas berhampiran Machu Picchu yang bergantung sepenuhnya kepada pelancongan antarabangsa dan mengalami krisis terburuk dalam sejarahnya baru-baru ini. Lebih daripada 226,000 orang yang bekerja membuat kraf atau bekerja sebagai pelayan,kakitangan hotel dan pemandu teksi, turut terpalit dengan krisis ekonomi. Pedagang berkata mereka mengalami kerugian lebih dari dua pertiga dari pendapatan mereka.
“Kami terpaksa bermula dari sifar dalam aktiviti yang kami tidak pernah terfikir untuk melakukannya,” kata Valles, yang bekerjasama dengan dua lagi rakannya yang kini mula membuat aiskrim buah yang mereka jual di bawah nama ‘Qosqo Creme’.
Bagi Valles, dekad lalu merupakan tempoh yang sangat hebat. Pada 2014, dia digelar sebagai pemandu pelancong terbaik dunia oleh majalah pelancongan Britain, Wanderlust dan pada 2016, kerajaan telah melantiknya sebagai duta untuk strategi pemasaran bagi menarik pelancong antarabangsa.



Dia pernah membawa Puteri Beatrice, cucunda kepada Ratu Elizabeth II, bekas presiden Bank Dunia, jim Yong Kim, penyanyi berasal dari Britain, Ed Sheeren, dan cucu kepada penjelajah AS, Hiram Bingham, yang mengambil gambar Machu Picchu pada 1911.
Tetapi dengan penularan koronavirus pada Mac dan sekatan perjalanan telah memberi kesan kepada Cuzco, yang menerima lebih dari 1.8 juta pelawat antarabangsa setiap tahun, kepada sebuah bandar hantu.
Hanya Bahasa Sepanyol dan Quechua yang boleh didengar dari dataran utama Cuzco, sesuatu yang tidak dapat dibayangkan sebelum pandemik ketika ia mengumpulkan pelancong-pelancong yang bertutur berbilang bahasa.
Hotel, agensi pelancongan, kedai barang kemas, restoran, kafe, kedai coklat dan pengurup wang kesemuanya telah ditutup di dataran tersebut. Hanya beberapa buah kedai menjual barang cenderahati yang kekal dibuka tetapi sudah beberapa hari tidak menerima sebarang pelanggan.
“Saya tidak mampu menjual sesuatu,” kata Lourdes Auca, 50, yang membuka semula kedainya yang menjual topi bulu alpaka di plaza dua minggu yang lalu. Dia membayar sewa bulanan sebanyak AS$2,100 dan sebelum pandemik, dalam hari yang jualannya mendapat sambutan, dia pasti meraih sehingga AS$300. Dua orang anak lelakinya terpaksa berhenti dari kolej kerana mereka sudah kehabisan wang.
Ruth Rodriguez, pemilik agensi pelancongan, Ruthbela Travel Tours, berkata bahawa ribuan pelancong selalunya ke sana pada 24 Jun untuk Inti Raymi, pesta matahari puak Incas. Tetapi tahun ini jalan-jalan raya ternampak lengang.
“Jalan-jalan raya seakan-akan menangis kerana tiada orang,” kata Rodriguez, 37, yang menanggung hutang terkumpul sebanyak AS$13,000.
Kerajaan pusat Peru telah memberikan dana sebanyak AS$143 juta sebagai jaminan kepada bank untuk membayar balik pinjaman kepada sektor pelancongan, tetapi Rodirguez berkata hutangnya baru-baru ini telah ditolak sebanyak AS$5,000 oleh bank. Dia membidas bahawa dana tersebut hanya diberikan kepada kumpulan pekerja yang besar.
Fredy Deza, pengarah serantau pelancongan Cusco, berkata kira-kira 8,000 orang pemandu pelancong di rantau itu yang tidak mendapat akses kepada dana tersebut.
“Ahli artis turut tidak diiktiraf oleh bank,” katanya. – AP