Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Sebagai penghargaan atas sokongan mereka, para pemilik baharu kereta jenama Lexus, semalam telah diraikan dengan menonton filem blockbuster ‘Black Panther’ di Times Cineplex, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.
Sebelum filem ditayangkan, beberapa orang pelanggan bertuah turut memenangi hadiah berupa baucar makan daripada Syarikat NBT (Brunei) Sdn Bhd.
Undian bagi memilih pemenang telah dibuat oleh Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Lepas Jualan Lexus, Haji Mansor bin Haji Mohammad Yassin dan Pengurus Lexus, Awang Shahrum bin Haji Jaafar.
Pengurus Pemasaran NBT (B) Sdn Bhd, Awang Muhammad Clovien Abdullah Timpoh memberitahu, tajaan menonton filem yang dinanti-nantikan itu adalah sebagai penghargaan syarikat kepada pelanggan atas sokongan terhadap Lexus selama ini.

“Melalui acara ini, ia akan membina hubungan erat di antara Lexus dan para pelanggannya seperti sebuah keluarga,” tambahnya.
Black Panther menampilkan kisah adiwira merentasi pelbagai cabaran bersama dengan Lexus LC. Dengan teknologi terkini, reka bentuk agresif dan prestasi tiada bandingan, kereta tersebut sememangnya sempurna untuk karakter utama dalam filem tersebut, Wakanda, yang menjadi raja sebuah negara berteknologi tinggi dan canggih di dunia.
Bagi memastikan adiwira itu pada prestasi terbaik, Lexus LC dicipta sebagai peralatan canggih memenuhi kehendaknya. Ia dilengkapi dengan enjin 470 kuasa kuda, mantap dan prestasi menakjubkan dengan rangka ringan diperbuat daripada aluminium dan gentian karbon, sesuai dengan aksi dan gambaran Black Panther.