Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Seramai lapan orang ahli kad Visa Baiduri bertuah membawa pulang hadiah-hadiah menarik dalam Majlis Penyampaian Hadiah bagi Kempen Promosi, A Card That Shows You a Different Perspective, yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, Kiarong, kelmarin, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini.
Para pemenang berkenaan disenarai pendekkan daripada ribuan penyertaan dalam kempen promosi anjuran Bank Baiduri dengan kerjasama Visa yang bermula dari 9 Ogos hingga 30 November 2017.
Menurut kenyataan itu, semasa tempoh promosi berkenaan, ahli kad Visa Baiduri yang menggunakan kad kredit atau debit Visa Baiduri mereka apabila membuat pembelian menerima sehingga tiga kali peluang cabutan bertuah bagi setiap $100 perbelanjaan.
Hadiah para pemenang di majlis berkenaan disampaikan oleh Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.
Di majlis itu, Pengiran Azaleen dipetik menyatakan bahawa pihak bank sentiasa mencari kaedah untuk memberikan ganjaran kepada pelanggan mereka supaya mereka menikmati kelebihan mempunyai kad kredit atau debit Visa Baiduri.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak bank akan mengadakan lebih banyak promosi pada 2018 ini.
Pada majlis berkenaan, hadiah-hadiah utama dimenangi oleh Lim Mah Suee @ Lim Mah Sui membawa pulang hadiah pakej percutian ke Paris untuk dua orang, Dr Sahriful Islam membawa pulang hadiah pakej percutian ke Maldives untuk dua orang dan Ku Eng Sin membawa pulang hadiah pakej percutian ke Tokyo untuk dua orang.
Sementara itu, Tan Soo Tiew membawa pulang hadiah tiket penerbangan ke Hong Kong untuk dua orang, Koh Han Kuang membawa pulang hadiah tiket penerbangan ke Bangkok untuk dua orang, Awang Muhammad Arzeeq Syazwanuddin membawa pulang hadiah tiket penerbangan ke Jakarta untuk dua orang, Lee Chooi Ngoh membawa pulang hadiah tiket penerbangan ke Bali untuk dua orang dan Yap Wei Ming membawa pulang hadiah tiket penerbangan ke Singapura untuk dua orang.