Seorang pelanggan tergamak berbohong semata-mata mahu memberikan komen buruk terhadap perniagaan Sate Bhalut milik penyanyi Mark Adam.
Individu berkenaan yang mendakwa dia pelanggan Mark meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kualiti makanan dijual.
Tidak hanya itu, individu tersebut mendakwa dia menyesal membeli makanan tersebut dengan harga RM25 ketika menghadiri sebuah festival makanan pada kelmarin.
“Dah beli tadi, Alhamdulillah dengan harga RM25 ini okaylah dengan rasa yang aku dapat, rasa menyesal,” tulisnya di TikTok.
Tampil mempertahankan diri, Mark atau Fikri Mark Adam Abdullah, 46, kesal individu tersebut tergamak berbohong untuk memburukkan perniagaannya.
Jelas Mark, sudah dua hari perniagaannya tidak beroperasi dan kali terakhir berniaga di Havoc Food Fest pada 5 Januari lalu.
“Assalamualaikum bro, kalau kau Islam janganlah sampai menipu. Hari ini 7 Januari, kita last meniaga 5 Januari kat Havoc Food Fest,” balasnya.
Meskipun kesal, Mark bagaimanapun hanya mampu bersangka baik dengan niat pelanggan tersebut menulis komen berbaur kecaman itu.
Mark turut menyimpan niat memberikan sate jualannya secara percuma sekiranya dipertemukan dengan individu tersebut.
“Di antara kejujuran dan menjatuhkan! Mungkin dia tersalah beli.
“Niat dia kami tak pasti, kata-kata terang seperti matahari. Ada kesempatan datanglah nanti, Sate Bhalut kami bagi free,” ujarnya.
Sebelum ini, peniagaan Mark menerima kecaman warganet selepas set tiga cucuk sate termasuk air berharga RM21.90 dianggap keterlaluan. – Agensi