Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Hajah Norhayati binti Haji Rasil membawa pulang wang tunai $20,000 berjaya melalui dua pusingan cabaran untuk menjadi pemenang utama promosi Lakastah Manang Bersama! ke-4 anjuran Takaful Brunei.
Majlis cabutan dan penyampaian hadiah telah berlangsung di The Mall, Gadong, hari ini, di mana hadir selaku tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Takaful Brunei Am Sdn Bhd, Awang Mohd Suffian bin Haji Mohd Salleh.
Pada majlis itu, dua finalis juga memenangi wang tunai $3,000 setiap seorang manakala itu, dua orang lagi pulang dengan wang tunai $1,000 setiap seorang.
Di samping itu, pemenang utama turut menerima 250,000 Takaful Brunei Mobile MyRewards Points yang bernilai $250 manakala empat finalis lain menerima 100,000 MyRewards Points bernilai $100.
Promosi berkenaan menawarkan peluang kepada pelanggan Takaful Brunei untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga $20,000 setiap dua bulan.
Selain itu, Takaful Brunei juga memberikan hadiah wang tunai sebanyak $30 kepada 300 pelanggan dan 50,000 MyRewards Points kepada 200 pengguna Takaful Brunei Mobile setiap tiga bulan.