Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Para pemegang kad eksklusif Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, telah dijemput ke acara Fashion Valet Pop-Up yang berlangsung di The Empire Hotel & Country Club, hari ini.
Para pemegang kad BIBD berkenaan diberikan kemasukan awal dengan tawaran menarik ke acara berkenaan yang akan dibukakan kepada orang ramai sehingga minggu ini.
Ini merupakan usaha BIBD untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada para pemegang kad eksklusifnya. Pada acara itu, pelanggan BIBD yang membuat transaksi menggunakan kad BIBD juga layak menerima potongan harga eksklusif.
Pelanggan juga menerima ganjaran BIBD Hadiah Point yang boleh digunakan untuk membayar bil utiliti, dana, ganjaran Sky Miles dan lain-lain.
Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar mengatakan, kerjasama BIBD dengan Fashion Valet bukan sahaja sekadar acara pop-up, bahkan ia juga sebagai cara untuk menyediakan platform kepada perusahaan tempatan mempamerkan produk-produk dan memperluaskan lagi pasaran tempatan.

Beliau berharap pelanggan BIBD dan pereka fesyen tempatan akan dapat melihat nilai kerjasama dengan Fashion Valet.
Menurut kenyataan yang diberikan, semasa acara itu, lima perusahaan fesyen dan kecantikan tempatan akan diberi peluang untuk menjual produk-produk mereka kepada orang ramai.
Perusahaan-perusahaan berkenaan adalah sebahagian daripada pusingan kedua BIBD Catalyst, inisiatif tanggungjawab sosial korporat di bawah BIBD yang menumpukan dalam menyediakan program-program pecutan bagi perusahaan baharu dan sedia ada.
Kenyataan menjelaskan, BIBD Catalyst bertujuan untuk dapat membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) dalam sektor industri yang berbeza untuk dapat mengeksport dan memenuhi pasaran luar Brunei.
Hajah Nurul Akmar dipetik sebagai berkata, “Kami berharap untuk mengembangkan modul program ini menjadi satu program yang akan membantu perniagaan tempatan yang berimpian besar dan berkembang di luar negara.”