Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Pengedar tunggal kenderaan Nissan di Brunei Darussalam, Boustead Sdn Bhd telah mengadakan perhimpunan sungkai bagi pelanggan GT-R mereka dan ahli-ahli Z Club, kelmarin di Dewan Berkshire, Tarindak D’ Polo, Jerudong.
Acara tersebut telah dihadiri oleh para pelanggan bersama kakitangan dan pihak pengurusan Nissan termasuk Pengurus Eksekutif Boustead Sdn Bhd, Lim Jin Lee.
Pada majlis tersebut, Lim Jin Lee turut memberi ucapan yang menjelaskan tujuan utama majlis tersebut diadakan adalah untuk menghargai pelanggan-pelanggan kerana sentiasa setia dan menyokong jenama Nissan selama ini yang membantu mereka berkembang selain bertujuan untuk bersosial dan mewujudkan hubungan yang lebih erat bukan sahaja dalam kalangan ahli GT-R dan Z Club, tetapi juga antara mereka dengan kakitangan Nissan.
Juga diadakan semasa majlis itu ialah bacaan tahlil dan Doa Arwah yang ditujukan khusus kepada seorang pelanggan Nissan, juga ahli Z Club yang telah kembali ke rahmatullah, Allahyarham Kapten Aiman Yusri bin Haji Asli. Beliau merupakan peminat dan pemilik kereta Z serta sentiasa menyokong Nissan.
Terdahulu, sebelum majlis sungkai, pelanggan GT-R dan Z menyertai konvoi beramai-ramai yang dimulakan dari Bilik Pameran Nissan di Beribi menuju ke Pantai Serasa yang diselajurkan dengan sesi bergambar ramai bersama para pelanggan, ahli-ahli kelab dan kenderaan mereka sebagai kenangan manis.
Tempat bergambar tersebut juga memberikan makna yang istimewa kepada kesemua ahli Z Club kerana di sana tempat mereka bertemu dengan arwah Kapten Aiman Yusri buat pertama kali.
