Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Menjadi peserta terakhir membuat pilihan membawa tuah kepada Dato Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid apabila satu-satunya kotak hitam yang tinggal mengandungi hadiah utama bernilai $20,000 bagi Promosi Lakastah Manang Bersama anjuran Takaful Brunei, pada majlis cabutan hari ini.
Manakala itu, dua orang pelanggan bertuah menerima hadiah sagu hati bernilai
$3,000 dan dua lagi membawa pulang hadiah sagu hati bernilai $1,000 setiap seorang.
Hadir pada majlis yang berlangsung di Pusat Membeli-belah One City itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd, Haji Maszaiwardy bin Haji Masri.
Para pemenang berkenaan merupakan pelanggan takaful yang membuat transaksi dan pembelian produk Takaful Brunei Am (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga (TBK).
Dato Haji Abdul Rahman dan isteri, Pengiran Datin Hajah Mariam binti Pengiran Ahmad semasa ditemui sejurus acara itu, melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka dengan rezeki yang diperolehi itu dan sambil ketawa menjelaskan, hadiah berkenaan mungkin akan digunakan untuk membeli tiket ke United Kingdom.
Menurut Pengiran Datin Hajah Mariam lagi, suaminya memang jarang sekali menggunakan dan melihat telefon, tapi entah hari itu suaminya terlintas untuk memeriksanya dan mendapati pesanan ringkas TBA bagi meminta hadir pada hari ini.
Beliau yang ditemani oleh ahli keluarganya menjelaskan, ahli keluarganya telah lama menggunakan produk yang ditawarkan oleh TBA dan TBK kerana ia bukan saja mudah digunakan malah memberi keselesaan kepada pelanggan.