KOTA KINABALU, 7 FEB – Pelanggan yang berurusan di kaunter pos teruja apabila premis itu kini mempunyai kedai serbaneka menjual makanan dan minuman sedia untuk dimakan yang membolehkan mereka membeli sementara menanti giliran masing-masing.
Penjawat awam Rohana Karim, 39, berkata pembukaan Pos Shop itu sedikit sebanyak dapat menghilangkan perasaan bosan ketika menunggu giliran kerana boleh membeli minuman mahupun makanan tanpa perlu keluar dari pejabat pos.
Berasal dari daerah Tuaran, beliau yang tiba seawal pagi hari ini untuk berurusan di kaunter amat teruja apabila melihat kelainan yang terdapat di pejabat pos itu berbanding sebelum ini.
“Saya terasa ‘wow’ sebab sementara menunggu nombor giliran, saya boleh datang ke sana untuk membeli minuman dan makanan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Pos, hari ini.
Pos Malaysia Berhad hari ini melancarkan Pos Shop yang pertama di Sabah, yang disempurnakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe, mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer.
Pekerja swasta Masri Tahir, 55, berkata pembukaan Pos Shop itu membolehkan pelanggan untuk membeli makanan yang terdiri daripada kuih dan minuman sejuk sebelum ke kaunter.
Beliau berkata usaha itu turut memberi keselesaan kepada pelanggan yang mempunyai pelbagai urusan penting dan memerlukan tempoh yang lama, mereka tidak lagi tergesa-gesa untuk keluar semata-mata mahu membeli minuman.
Mohd Tahir Suhod, 64, pula berkata pembukaan Pos Shop itu adalah langkah ke depan pihak Pos Malaysia untuk memberi keselesaan kepada pelanggan kerana dapat menunggu sambil bersantai-santai. – Bernama