Sunday, April 13, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelanggaran keselamatan dikesan dalam kebakaran rumah kedai

    SINGAPURA, 10 APRIL – Siasatan awal berhubung insiden kebakaran di sebuah rumah kedai di River Valley Road, Singapura pada Selasa lalu, mendedahkan wujudnya pelanggaran terhadap peraturan keselamatan kebakaran, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

    Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi, SCDF memaklumkan bahawa ketidakpatuhan itu termasuk kerja-kerja pembinaan yang tidak dibenarkan melibatkan pembinaan pembahagian di dalam premis berkenaan.

    “SCDF memandang serius sebarang bentuk ketidakpatuhan keselamatan kebakaran kerana ia membawa risiko besar terhadap nyawa dan harta benda.

    “Pihak yang bertanggungjawab boleh dikenakan denda sehingga S$200,000, penjara sehingga 24 bulan, atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu kelmarin.

    Siasatan awal menunjukkan bahawa kebakaran berkemungkinan bermula dari ruang simpanan di tingkat dua rumah kedai tiga tingkat itu.

    Premis rumah kedai di River Valley Road, Singapura, yang terkesan kebakaran pada 8 April. – MediaCorp

    Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

    Menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), hanya tingkat bawah bangunan itu diluluskan untuk digunakan sebagai pusat pendidikan kanak-kanak, manakala dua tingkat atas dan loteng diluluskan untuk kediaman, lapor CNA.

    Premis berkenaan menempatkan pusat pendidikan Newtonshow Camp.

    Papan tanda di luar bangunan itu turut memaparkan beberapa jenama lain yang disenaraikan di laman sesawang Newtonshow, termasuk Tomato Cooking School, sekolah teater Drama Llama dan sekolah pengekodan Maker.

    Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden ini.

    Dalam satu kenyataan, Tomato Cooking School memaklumkan bahawa pihaknya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

    “Kami amat sedih dan terkejut dengan insiden kebakaran yang berlaku di premis ini.

    “Doa dan ingatan kami bersama semua keluarga serta individu yang terjejas ketika detik yang sukar ini.

    “Kami memohon semua pihak menghormati privasi keluarga yang terlibat sepanjang proses siasatan berlangsung,” menurut kenyataan itu di Facebook.

    Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda