BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah menunjukkan peralihan kepimpinan dengan pelantikan yang dipertua, naib yang dipertua dan setiausaha agung baharu pada Mesyuarat Agung yang diadakan di ibu pejabat pengakap, Gadong, hari ini.
Pada mesyuarat itu, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas mengundurkan diri sebagai Yang Di-Pertua PPNBD selepas berkhidmat lebih dua penggal dan diganti oleh Awang Matussin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.
Awang Damit bin Awang Chucu pula dilantik sebagai Naib Yang Di-Pertua Kedua, manakala itu, Pengiran Haji Abdul Wahab bin Pengiran Hassan mengekalkan kedudukannya sebagai Naib Yang Di-Pertua dan mantan pengarah kebudayaan dan sukan, Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad dilantik sebagai Setiausaha Agung baru PPNBD. Pengiran Haji Alit bin Pengiran Haji Damit dikekalkan sebagai Bendahari Agung.
Menurut kenyataan yang diberikan, dari tahun ke tahun, PPNBD telah menunjukkan peningkatan bilangan keanggotaan yang mana sehingga Disember 2017, mencatatkan 1,931 ahli pengakap berdaftar.

Antara perkara penting yang akan ditumpukan PPNBD pada tahun 2018 adalah untuk menjadi kumpulan advokasi utama untuk belia menerusi komunikasi dan pengguna multimedia.
Kenyataan menambah, satu kod amalan baru telah diperkenalkan yang harus dipatuhi semua ahli-ahli Jawatankuasa Kecil PPNBD. Objektifnya adalah untuk menyediakan tanda aras dan amalan terbaik untuk memastikan perkhidmatan terbaik dan adil dapat diberikan kepada ahli.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah beberapa orang ahli Jawatankuasa Tertinggi PPNBD serta pemimpin-pemimpin PPNBD dari keempat-empat daerah.