Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelantikan Jadadish ditarik balik

    SINGAPURA, 27 Feb – Pelantikan Jadadish Chandra sebagai pemerhati Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ditarik semula bagi sesi pendengaran berhubung kes mengatur perlawanan membabitkan dua pemain badminton Malaysia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

    Hari ini merupakan hari terakhir bagi sesi pendengaran dua hari itu yang bermula semalam.

    “Pada pukul 9 pagi ini saya dimaklumkan oleh BWF bahawa pengerusi panel bagi pendengaran ini ada menerima bantahan daripada peguam pemain bahawa saya telah memberi kenyataan media,” Jadadish memberitahu media di sini hari ini.

    “Saya dimaklumkan pengerusi panel bahawa pelantikan saya sebagai pemerhati ditarik balik,” katanya.

    Beliau menyatakan bahawa beliau tidak diberitahu secara spesifik kenyataan media yang dimaksudkan oleh BWF itu.

    Diminta mengulas sama ada tindakan BWF menghalang tugas media, Jadadish menyifatkan tindakan BWF tidak wajar dan tidak patut.

    “Jika ada bantahan daripada pegawai pemain, bantahan tersebut harus dikemukakan semasa permulaan bicara pagi ini, bukan secara memberitahu saya pada 9 pagi pada hal bicara pada pukul 10 pagi,” katanya.

    Selain menjadi anggota majlis BAM, Jadadish juga merupakan anggota utama bagi jawatankuasa peraturan, disiplin dan integriti badan induk itu.

    Sesi pendengaran itu dikendalikan oleh panel tiga anggota daripada BWF.

    Sesi itu berakhir kira-kira 4.45 petang dan kelihatan dua pemain badminton Malaysia meninggalkan hotel dengan kenderaan berasingan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda