Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni (JKEPA) Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) membubarkan ahli-ahli sesi 2021/2023 dan melantik ahli-ahli sesi sesi 2023/2025 pada majlis yang berlangsung di Capital Residence Suites, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu pada majlis anjuran UNISSA melalui Pejabat Hal Ehwal Alumni (HEA) dengan kerjasama JKEPA itu ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada mantan JKEPA UNISSA sesi 2021/2023 dan sijil pelantikan kepada ahli-ahli baharu sesi 2023/2025.
Dengan pelantikan baharu itu, persatuan alumni tersebut diharap akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah dan komited berbakti untuk agama, bangsa, negara dan kepada UNISSA.
Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab dan diikuti dengan ucapan daripada Ketua Pejabat Hal Ehwal Alumni UNISSA, Awang Muhammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.
Majlis pembubaran dan pelantikan JKEPA UNISSA itu merupakan acara rasmi UNISSA yang diadakan sekali dalam dua tahun.



