Saturday, May 3, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelantikan Konsul Kehormat eratkan hubungan Brunei, Republik Czech

    Oleh Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Republik Czech secara rasminya telah melantik Encik Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad, Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Serikandi, sebagai Konsul Kehormatnya di Negara Brunei Darussalam selama lima tahun.

    Pelantikan rasmi berkenaan telah diadakan pada 30 April, menandakan peristiwa bersejarah dalam mengeratkan hubungan diplomatik dan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara tersebut.

    Watikah pelantikan yang ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Luar Republik Czech, Jan Lipavský dan disampaikan kepada Shaikh Khalid oleh Duta Besar Republik Czech ke Indonesia dan pada masa yang sama Duta Bukan Residen ke Brunei Darussalam, Jaroslav Doleček.

    Bagi memperingati majlis itu, satu majlis makan malam telah diadakan di Hotel Radisson di Bandar Seri Begawan yang dihadiri oleh para pegawai kanan kerajaan, anggota kor diplomatik, pemimpin perniagaan dan pihak berkepentingan masyarakat.

    Dalam ucapannya, Encik Shaikh Khalid menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan berjanji untuk meningkatkan kerjasama dua hala merentasi perdagangan, pendidikan, pelancongan, pertukaran budaya, dan penglibatan rakyat dengan rakyat.

    “Pelantikan ini bukan sekadar penghormatan tetapi tanggungjawab yang saya pikul dengan ikhlas dan bangga. Saya berharap membina hubungan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan menyumbang kepada persahabatan dan kerjasama yang berkekalan,” ujarnya.

    Jaroslav Doleček juga memuji pelantikan itu sebagai satu langkah ke hadapan dalam penglibatan serantau apabila menyatakan, “Republik Czech sangat menghargai persahabatannya dengan Negara Brunei Darussalam. Dengan pemahaman tempatan yang mendalam dan rangkaian luas Shaikh Khalid, kami yakin perkongsian ini akan membuka jalan untuk kerjasama yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang.”

    Penubuhan Konsulat Kehormat di Bandar Seri Begawan akan berfungsi sebagai kehadiran diplomatik penting, menawarkan sokongan konsular untuk warga Czech dan memudahkan penglibatan yang lebih luas antara kedua-dua negara.

    Kedua-dua negara telah menikmati hubungan mesra dan kerjasama yang terus diperkukuh melalui penglibatan bersama seperti pelantikan terbaharu sedemikian yang juga mencerminkan komitmen bersama untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Republik Czech dan Brunei Darussalam.

    Pelantikan rasmi yang diserahkan kepada Shaikh Khalid (kiri) oleh Jaroslav Doleček– GAMBAR SERAHAN KONSULAT KEHORMAT REPUBLIK CZECH DI BANDAR SERI BEGAWAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda