BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda telah mengurniakan titah perintah pelantikan Peguam Negara dan Timbalan Menteri Pembangunan yang baharu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Besar, Yang Arif Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid telah dilantik menjadi Peguam Negara bagi menggantikan Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh.
Manakala itu, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Pembangunan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah mengurniakan titah perkenan pelantikan bagi beberapa orang lagi pegawai kanan.
Di bawah Kementerian Pertahanan, Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah dilantik menjadi Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan.
Pegawai Pentadbir Kanan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Amiruddin bin Haji Mohammad Hassan dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan.
Pegawai Tugas-tugas Khas, Kementerian Pembangunan, Haji Zakaria bin Haji Serudin dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan.
Di bawah Kementerian Pembangunan, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dilantik menjadi Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan.
Ketua Pengarah Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dilantik menjadi Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan.
Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakub telah dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan.
Ketua Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan.
Di bawah Kementerian Pendidikan pula, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Haji Ahmad dilantik menjadi Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan.
Dekan Fakulti SHBIE, Universiti Brunei Darussalam, Dr Shamsiah Zuraini Kenchanawati binti Haji Tajuddin dilantik menjadi Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan.
Pengarah dan Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Chin Wei Keh dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan.
Sementara itu pula, di bawah Pejabat Peguam Negara, Ketua Penasihat Undang-undang, Dayang Zuraini bin Haji Sharbawi telah dilantik menjadi Peguam Cara Negara bertaraf Timbalan Setiausaha Tetap bagi menggantikan Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi.
Tarikh pelantikan peguam negara dan timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan berkenaan akan berkuat kuasa mulai 10 Ogos 2018.