Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelapis negara beri saingan sengit

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Saiful Rizal dan Hamidah Ismail masing-masing muncul juara dalam acara perseorangan dalam Kejohanan Skuasy Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun baru-baru ini.

    Ketika ditemu bual, Saiful Rizal menegaskan bahawa beliau tidak menduga untuk mencatat kemenangan kerana menurutnya, beliau kurang membuat persiapan yang rapi dan hanya berpeluang berlatih selama seminggu sahaja disebabkan komitmen pekerjaan, namun beliau tetap bersyukur dengan aksinya.

    Menurutnya lagi, cabaran kali ini terdiri daripada pemain-pemain muda terutama sekali bakal-bakal pelapis negara yang menurutnya menampakkan pencapaian terbaik berbanding di dalam latihan dan itu adalah petanda yang baik.

    Beliau mengucapkan syabas kepada barisan pemain muda ini kerana komited dalam latihan dan dengan adanya peningkatan ini katanya, sukan skuasy akan semakin sengit dan lebih mencabar sekali gus meningkatkan mutu sukan skuasy di tanah air.

    Menurutnya lagi, “Saya sendiri merasa gementar dengan tekanan diberikan oleh mereka dan saya percaya pendedahan di luar akan mempertajamkan lagi permainan mereka sekali gus akan mengembangkan kemahiran dan kebolehan mereka sebagai bakal pemain skuasy negara di masa akan datang.”

    Sementara itu, Hamidah Ismail pula meluahkan rasa gembiranya untuk muncul sebagai pemenang kerana lawannya bukan pemain yang boleh dipandang ringan kerana mereka masih muda dan mempunyai peluang yang lebih jauh dalam sukan ini.

    “Cabaran di dalam bahagian wanita semakin meningkat dengan adanya lebih ramai pemain berbanding penyertaan yang lalu kerana sebelum ini kami hanya bertiga dan kini mempunyai enam pemain junior,” ujar Hamidah lagi.

    Menurut beliau lagi, para pemain muda wanita menunjukkan permainan yang semakin matang dan mereka memberikan cabaran serta tentangan kepada pemain senior dan itu yang diharapkannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda