Wednesday, July 16, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelari maraton tertua meninggal dunia

    NEW DELHI, 15 JULAI – Fauja Singh dari India, yang dipercayai sebagai pelari jarak jauh tertua di dunia, telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada usia 114 tahun, menurut penulis biografinya hari ini.

    Singh, seorang warga Britain kelahiran India yang dikenali dengan gelaran ‘Turbaned Tornado’, maut selepas dilanggar sebuah kenderaan di daerah Jalandhar, negeri Punjab, kellmarin.

    “Turbaned Tornado sudah tiada,” tulis penulis biografinya, Khushwant Singh, di platform X.

    “Beliau dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti di kampung halamannya, Bias, ketika sedang melintas jalan,” tambahnya.

    Singh tidak memiliki sijil kelahiran, namun keluarganya berkata beliau dilahirkan pada 1 April 1911.

    Beliau masih berlari maraton penuh [42 kilometer (km)] sehingga usia 100 tahun.

    Perlumbaan terakhirnya ialah acara 10km semasa Maraton Hong Kong 2013 ketika beliau berusia 101 tahun dan menamatkannya dalam masa satu jam, 32 minit dan 28 saat.

    Beliau menjadi sensasi antarabangsa selepas mula menyertai acara larian jarak jauh pada usia 89 tahun, berikutan kematian isterinya dan salah seorang anak lelakinya, setelah terinspirasi menonton maraton di televisyen.

    Walaupun diiktiraf secara meluas sebagai pelari maraton tertua dunia, rekodnya tidak disahkan oleh Guinness World Records kerana beliau tidak dapat membuktikan usianya — katanya, sijil kelahiran tidak wujud ketika beliau dilahirkan di bawah pemerintahan kolonial British.

    Singh pernah menjadi pembawa obor Olimpik di Athens 2004 dan London 2012, dan turut muncul dalam iklan bersama bintang sukan ternama seperti David Beckham dan Muhammad Ali. – AFP

    Gambar fail bertarikh 1 April 2004 menunjukkan Singh (kanan) semasa menerima anugerah sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlangnya dalam larian di Marasthon House di London. – AFP

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda