Thursday, November 14, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelari negara takluk cabaran APTRC Korea Selatan

    Oleh Sim Y.H. –

    Berbekalkan semangat juang yang tinggi untuk bersaing dan menguji kebolehan beraksi menentang para peserta yang lebih berpengalaman serta profesional, pelari jejak tempatan, Awang Amirul Tuah beraksi dalam Kejohanan Larian Jejak Asia Pasifik (APTRC) 2024 yang berlangsung di Ulsan, Korea Selatan, baru-baru ini.

    Awang Amirul yang mewakili Negara Brunei Darussalam di pentas global, bertanding di bawah Persatuan Pengembara dan Rekreasi Brunei (BARA) Trail Running dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, mengambil peluang keemasaan itu untuk mengetengahkan minat yang berkembang untuk acara larian jejak di Negara Brunei Darussalam.

    CABARAN DAN PENGALAMAN BERHARGA

    Awang Amirul yang bertanding dalam perlumbaan 40KM, berdepan dengan pelbagai cabaran hebat serta medan larian yang mencabar, bukan sahaja demi mencatatkan rekod peribadinya malahan untuk menimba pengalaman serta pandangan berharga untuk dikongsi dengan komuniti pelari-pelari jejak di negara ini.

    Mengimbas pengalamannya dalam perlumbaan itu, Awang Amirul menerangkan penyertaannya dalam kejohanan bersejarah itu, dengan peningkatan sukan larian jejak di Brunei, serantau dan antabangsa, penyertaannya merupakan peluang yang amat baik untuk menimba ilmu sebagai seorang peserta dan juga dari sudut perspektif penganjuran.

    Baginya ia merupakan peluang untuk mendapatkan penanda aras bagi standard larian jejak Brunei berbanding dengan pelari-pelari terbaik di Asia Pasifik di mana sebahagian daripada para peserta berkenaan merupakan atlet profesional sepenuh masa.

    Awang Amirul berpeluang sempat merakamkan kenangan semasa menyertai Kejohanan APTRC 2024 di Ulsan, Korea Selatan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN BARA
    GAMBAR SERAHAN BARA
    Awang Amirul berpeluang untuk menimba pengalaman berguna dalam penyertaannya di Kejohanan APTRC 2024 di Ulsan, Korea Selatan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN BARA

    PERSIAPAN PERTANDINGAN

    Menariknya, bermula dengan persiapan pada Julai lalu, Awang Amirul mengikuti program latihan 16 minggu yang khusus untuk memenuhi keperluan yang ketat bagi perlumbaan larian jejak. Laluan kejohanan itu, memberikan cabaran landskap yang unik dengan batu-batu yang tajam, kerikil serta kecerunan yang curam, di mana ia memerlukan bukan sahaja ketahanan fizikal tetapi pendekatan strategik bagi pengurusan tenaga serta hidrasi.

    “Saya mengikuti pelan pemakanan yang saya amalkan semasa latihan, memastikan saya mengambil natrium dan karbohidrat yang mencukupi daripada gel tenaga dan minuman karbohidrat, dengan makanan pepejal tersedia di pusat pemeriksaan perlumbaan,” jelasnya.

    Pendekatan berdisplin itu, membuahkan hasil baginya apabila beliau mencapai mercu tanda peribadi baginya iaitu kutipan mata perlumbaan sebanyak 589 dalam metrik prestasi Persatuan Larian Jejak Antarabangsa (ITRA), melangkaui pencapaian terbaiknya sebelum ini iaitu sebanyak 567 mata.

    Sistem mata ITRA, jelasnya, membolehkannya untuk membandingkan prestasi dengan atlet-atlet lain dan menetapkan penanda aras.

    Menurutnya lagi, menyaksikan mata kutipan yang diperlukan untuk layak dan bersaing di peringkat tertentu memberikannya motivasi untuk memperbaiki prestasinya.

    Perlumbaan itu, merupakan satu pengalaman berharga sekali gus menambah keyakinannya, di mana ia membentukkan semula strategi perlumbaan baginya. Secara lazimnya, beliau akan memulakan perlumbaan dengan perlahan tetapi dalam perlumbaan kali ini, beliau mencuba pendekatan yang baharu dengan bersaing terus dari awal untuk mengekalkan kedudukan yang kukuh.

    “Belajar daripada atlet lain dan pengurus pasukan kebangsaan, saya mendapat pandangan mengenai pendekatan yang berbeza boleh mengoptimumkan hasil perlumbaan,” katanya sambil menambah bahawa perlumbaan itu menegaskan semula nilai penyesuaian teknik daripada profesional lain.

    PENGHORMATAN MEWAKILI NEGARA

    Mengimbau penghormatan yang diberikan untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam kejohanan itu, Awang Amirul amat bangga untuk berkongsi kisah perkembangan sukan larian jejak negara kerana terdapat rasa ingin tahu dalam kalangan masyarakat mengenai bagaimana mereka berlatih bagi perlumbaan larian merentasi gunung serta bertanding dalam keadaan cuaca yang lebih sejuk.

    Baginya perkongsian proses persiapan unik dengan atlet-atlet yang lain merupakan satu pengalaman yang amat bernilai.

    Memandang ke hadapan, Awang Amirul berharap untuk mengaplikasikan kaedah latihan baharu yang telah dipelajarinya semasa APTRC ke dalam regimen latihannya serta mengongsikan pengalamannya dengan komuniti pelari jejak Brunei.

    “Terdapat ramai pelari berbakat di Brunei yang boleh bersaing di peringkat serantau, dan saya tidak sabar-sabar untuk menawarkannya sebarang maklum balas yang mungkin memberi manfaat kepada atlet, pertandingan dan persatuan tempatan,” ujarnya.

    Awang Amirul menyatakan harapan dengan penyertaannya di APTRC, ia akan membuka peluang baharu kepada pelari Brunei dan meraih sokongan daripada agensi berkenaan.

    Sementara itu, Presiden BARA, Yasmin Pantera merakamkan perasaan bangga akan pencapaian Awang Amirul di mana BARA amat menghargai usaha serta dedikasi Awang Amirul dalam perlumbaan itu dengan mecapai pertasi terbaik peribadi yang baharu.

    “Perjalanannya menunjukkan apa yang mungkin bagi komuniti larian jejak Brunei dan kami berharap pengalamannya memberi inspirasi kepada orang lain untuk menempuh cabaran baharu,” jelasnya.

    Beliau turut mengetengahkan komitmen berterusan BARA untuk menyokong pelari-pelari jejak Brunei dan memupuk sukan tempatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda