JAKARTA, INDONESIA, 24 OGOS – Beratus-ratus orang pelarian Afghanistan di Indonesia, kebanyakannya minoriti etinik Hazara, telah mengadakan tunjuk perasaan hari ini, bagi mengutuk Taliban yang mengambil alih negara mereka dan menyeru bagi penempatan semula di negara-negara ketiga.
Indonesia bukan ahli Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1951 dan Protokol 1967, dan kerajaan negara itu tidak membenarkan pencari suaka bekerja atau mempunyai akses kepada sekolah dan hospital awam.
Para penunjuk perasaan berarak di jalan-jalan raya luar pejabat agensi pelarian PBB di ibu negara Indonesia, Jakarta, dengan ramai yang berkata, mereka sangat bimbang mengenai keluarga mereka di tanah air.
“Semua orang takut disebabkan situasi semasa dan terdesak untuk melarikan diri,” kata pembantah berusia 28 tahun, Hakmat Ziraki.
Menurutnya, saudara-maranya, tidak dapat bertahan hidup bertahun-tahun tanpa pekerjaan, akhirnya pulang ke Afghanistan.
Pada Jumaat, dia menerima pesanan ringkas daripada saudara kandung perempuannya, berkata bahawa dia tidak keruan dan semua orang di kampung mereka telah menghantar anak-anak perempuan mereka keluar negara.
Sepanduk-sepanduk bantahan bertulis ‘Afghanistan tidak selamat’ dan ‘Tempatkan semula pelarian Afghanistan dari Indonesia”.
“Menanti lebih lapan tahun tanpa penempatan semula sangat teruk,” kata Ziraki.
Pegawai-pegawai agensi pelarian PBB di Jakarta tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen. – AP
