Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelarian Afghanistan wajar diberi perlindungan – PBB

    KABUL, 11 DIS – Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran rakyat Afghanistan mungkin mati dalam keadaan musim sejuk yang teruk jika mereka tidak mendapat tempat perlindungan yang mencukupi sebaik sahaja mereka menyeberangi sempadan dari Pakistan.
     
    Hampir setengah juta rakyat Afghanistan telah meninggalkan Pakistan sejak awal Oktober, apabila kerajaan Islamabad mengumumkan akan menangkap dan menghantar pulang warga asing yang dikatakan berada di negara itu secara haram. 
     
    Sebahagian besar daripada mereka adalah dari negara jiran Afghanistan, walaupun Islamabad menegaskan dasar itu tidak menyasarkan kewarganegaraan tertentu.
     
    Penghantaran pulang secara paksa itu memberikan tekanan ke atas Afghanistan dan agensi bantuan, yang menyediakan sebahagian besar perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan. Suhu sejuk semakin meningkat dan keadaan di sempadan semakin membimbangkan.
     
    “Ramai penduduk Afghanistan yang kembali telah terjejas, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang boleh kehilangan nyawa dalam musim sejuk yang teruk jika dibiarkan tanpa tempat perlindungan yang mencukupi,” kata agensi pelarian PBB dalam laporan yang diterbitkan Jumaat lalu. “Orang ramai yang tiba di sempadan berasa letih dan memerlukan bantuan segera serta sokongan psikososial.”
     
    Terdapat keluarga yang memberitahu agensi bahawa mereka bimbang suhu yang lebih sejuk di kawasan tertentu, terutamanya kawasan pergunungan, mungkin menghalang mereka daripada pulang ke rumah dengan segera.
     
    “Ramai yang terdedah kepada penyakit, contohnya bronkitis, akibat cuaca sejuk dan perjalanan sukar dari Pakistan,” kata agensi itu dalam mesej kepada The Associated Press kelmarin.
     
    Ada di antara mereka yang pulang ke Afghanistan adalah keluarga yang tidak pernah tinggal di negara itu. Mereka telah tinggal di Pakistan selama satu atau lebih generasi dan mungkin tidak mempunyai rumah atau keluarga besar untuk kembali. – AP
     
    Pelarian Afghanistan menetap di kem berhampiran sempadan Torkham Pakistan-Afghanistan, di Torkham, Afghanistan pada 3 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda