DUNBARTON – Sudah tiba masa menuai di tengah New Hampshire dan sebuah ladang di sana kelhatan seolah-olah telah dipindahkan dari benua yang jauh.
Para petani mengimbangi peti besar yang sarat dengan sayur-sayuran di atas kepala mereka sambil berbual dalam bahasa Somalia dan bahasa lain.
Semasa matahari menghilangkan kabus awal pagi, para petani memetik tanaman ruji Amerika seperti jagung dan tomato serta tanaman di kampung halaman mereka, seperti bendi dan sorrel. Ramai wanitanya memakai fabrik berwarna jingga, merah dan biru yang terang.
Kebanyakan pekerja di ladang Dunbarton ini adalah pelarian peperangan dan penganiayaan yang mengerikan. Mereka berasal dari negara Afrika Burundi, Rwanda, Somalia dan Congo, dan mereka kini menjalankan perniagaan kecil mereka sendiri, menjual hasil tanaman mereka ke pasaran tempatan serta kepada rakan dan hubungan dalam komuniti etnik mereka. Bertani memberikan mereka pendapatan dan terasa berada di negara sendiri.
“Saya suka di Amerika Syarikat. Saya mempunyai pekerjaan sendiri,” kata pelarian Somalia dan petani, Khadija Aliow sambil berjalan berlenggang-lenggok melintasi seorang wartawan, menggunakan sebelah tangan mengimbangi kotak berisi hasil tuaian di atas kepalanya dan sebelah lagi memberi tanda isyarat ibu jari.
“Senang. Saya sangat gembira.”
Ladang itu dimiliki oleh sebuah organisasi bukan untung yang berpangkalan di New Hampshire, Organisasi untuk Kejayaan Pelarian dan Imigran, yang membenarkan petani menggunakan sebidang tanah dan menyediakan mereka dengan latihan dan sokongan.
Organisasi itu menjalankan ladang serupa di Concord dan bandar Boscawen yang berdekatan.
Secara keseluruhan, 36 orang dari lima negara Afrika, termasuk Sudan Selatan, dan negara Asia Nepal bekerja di ladang itu. Ramai daripadanya adalah petani di negara asal mereka sebelum datang ke AS atau mempunyai pengalaman sebelumnya dalam bidang pertanian, kata Tom McGee, pengarah program organisasi itu.
“Ini adalah petani yang pada dasarnya adalah pemilik perniagaan bebas, yang bekerjasama dengan organisasi kami untuk dapat menghidupkan hasil ini di negara ini,” katanya. “Dan untuk mempunyai satu lagi tujuan, dan cara mereka boleh membawa diri mereka ke dalam komuniti, dan ketergolongan. Dan benar-benar mengambil bahagian dalam impian Amerika.”
Organisasi bukan untung itu menjalankan pasar makanan di Manchester, di mana orang ramai boleh membeli hasil segar atau mendaftar untuk dihantarkan kotak-kotak berisinya.
McGee berkata terdapat beberapa program lain dengan matlamat yang sama tersebar di seluruh AS tetapi model itu masih agak jarang berlaku. Beliau berkata organisasinya bergantung pada pembiayaan negeri dan persekutuan, serta derma swasta.
Petani Sylvain Bukasa berkata dia melarikan diri pada tahun 2000 daripada konflik selama beberapa dekad di Congo yang telah mengakibatkan berjuta-juta kematian. Dia menghabiskan enam tahun bersama isteri dan anak lelakinya di kem pelarian di Tanzania sebelum diterima masuk ke AS pada 2006.
“Saya bimbang tentang keselamatan saya,” katanya. “Saya memutuskan untuk pergi ke tempat yang lebih selamat.”
Bukasa berkata dia telah bekerja keras sejak tiba di AS dan menikmati kehidupan baharunya. Tetapi pada mulanya dia merindui makanan tanah airnya. Dia hanya boleh menemuinya di pasaran khusus, di mana ia cenderung mahal dan tidak berkualiti.
“Di kampung halaman kami lebih banyak makan sayur-sayuran dan sedikit daging,” katanya. “Apabila kami datang ke sini, lebih banyak ayam, lebih banyak piza, makanan seperti itu. Rasanya sedap, tetapi ia tidak baik untuk awda.”
Bukasa mula bercucuk tanam di ladang itu pada 2011. Rancangan awal di ladang Dunbarton adalah untuk membenarkan pendatang seperti beliau menanam tanaman tradisional untuk diri mereka dan keluarga mereka. Tetapi permintaan meningkat, terutamanya semasa pandemik, mendorong kepada evolusi ladang menjadi operasi komersial.
Bagi segelintir petani, hasil tuaian itu merupakan pendapatan utama mereka. Bagi kebanyakan orang, seperti Bukasa, ia adalah usaha sampingan. Dia bekerja sepenuh masa sebagai ejen perkhidmatan untuk sebuah syarikat kereta sewa dan datang pada bila-bila masa yang dia boleh untuk menjaga plotnya seluas lebih daripada 1 ekar (0.4 hektar).
Cabaran terbesar ialah memastikan tanamannya disiram dengan secukupnya dan menghalang rumpai daripada mengambil alih, katanya.
Isnin adalah hari menuai, dan pada hari Isnin baru-baru ini, Bukasa menyenaraikan tanaman yang dipetiknya: tomato, labu musim panas, zucchini, kangkung, jagung, bendi, dan daun dari labu dan sorrel.
Dia berkata terdapat komuniti Congo yang sangat besar di seluruh New England, dan mereka menghargai apa yang ditanamnya.
“Ia kerja yang sukar, tetapi kerja keras adalah kerja yang baik. Ia menyeronokkan dan ia membantu orang ramai. Saya suka apabila saya memuaskan hati orang dengan makanan yang mereka makan,” kata Bukasa.
Impiannya adalah suatu hari nanti untuk membeli ladangnya sendiri dengan beberapa ekar tanah, supaya dia boleh keluar dari pintu depan rumah untuk menjaga tanamannya daripada memandu 20 minit seperti yang dilakukannya sekarang. Cabaran yang lebih segera, katanya, adalah untuk bekerja di bahagian pemasaran perniagaannya.
Dia telah sampai ke tahap di mana dia kini menanam lebih banyak makanan daripada yang mampu dijualnya, dan dia tidak suka melihat mana-mana makanan itu terbuang. Satu idea adalah untuk membeli sebuah van, supaya dia boleh menghantar lebih banyak hasil sendiri.
“Awda melihat persaingan di sana,” katanya sambil tersenyum, menunjuk ke arah khemah tempat peladang pelarian lain mencuci dan membungkus hasil tanaman mereka. “Lihat berapa ramai petani yang cuba menjual hasil mereka.” – AP