Pelarian perjuangkan hak wanita menerusi filem

ATHENS – Di pejabat sebuah badan kebajikan kecil di Athens yang menawarkan kursus vokasional, sekumpulan wanita sedang sibuk menyunting filem pendek dan podcast di bawah penyeliaan seorang pengarah warga Amerika.

Pelarian dari Congo, Syria, Afghanistan dan Iran itu dilatih oleh GlobalGirl Media, sebuah pertubuhan yang mengajar media digital dan kemahiran kewartawanan kepada wanita muda dari komuniti kurang bernasib baik.

Namun walaupun sesetengahnya telah datang ke Greece dari negara lain di seluruh dunia, mereka mendapati masalah yang dihadapi mereka adalah sama.

“Saya sedar tentang kesukaran yang dialami oleh wanita Greece. Semasa temu bual, kami berbincang secara panjang lebar mengenai keperluan untuk menyokong sesama sendiri sebagai wanita tanpa mengira asal-usul kami, di-sebabkan kami mengharungi pengalaman yang sama,” kata Fatemeh Jafari, wanita Afghan berusia 25 tahun.

Keganasan terhadap wanita dan pembunuhan kaum wanita di Greece telah diberi pendedahan secara beransur-ansur dalam beberapa tahun ini selepas berdiam diri berdekad-dekad lamanya.

Pelarian wanita bersama Amie Williams mengambil bahagian dalam projek mengenai kesamaan jantina di pejabat sebuah pertubuhan di Athens. – AFP
Amie Williams, pengarah AS mengajar beberapa tip penyuntingan kepada peserta wanita mengenai kesamaan jantina di pejabat pertubuhan di Athens pada 8 Jun 2021. – AFP
Pelarian wanita muda membuat penggambaran semasa temu bual mengenai keganasan berasaskan jantina bersama Loretta Macauley dari Persatuan Wanita Afrika Greece di Athens. – AFP
Fatemeh, Sude dan Ataa menyunting temu ramah ketika mengambil bahagian dalam projek mengenai kesamaan jantina di pejabat pertubuhan GlobalGirl Media di Athens. – AFP

Gangguan seksual juga menerima liputan lebih meluas sejak Januari apabila juara layar Olimpik Greece, Sofia Bekatorou menuduh seorang pegawai persekutuan melakukan penderaan seks, justeru mencetuskan kempen #MeToo di Greece.

“Suara wanita jarang didengar dalam media, terutamanya pelarian muda,” kata penyelaras GlobalGirl Media di Greece, pengarah warga Amerika Amie Williams.

“Idea yang timbul adalah membenarkan mereka berlatih dalam profesion kewartawanan, untuk menerima pendapat mereka serta memajukan diri mereka dengan merakam kisah mereka atau wanita lain yang komited terhadap kesamaan jantina,” kata beliau.

Pada 30 Jun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganjurkan satu forum mengenai kesamaan jantina di Paris, di mana aktivis berusaha mempengaruhi atau memujuk kerajaan supaya memajukan kesamaan jantina.

Untuk acara tersebut, Williams berkata pelarian muda menerima latihan dan wang untuk menerbitkan filem pendek dengan menemu ramah pertubuhan dan ikon feminis di Greece.

Sude Fazlolah, seorang wanita Iran berusia 38 tahun, berkata dia ‘banyak belajar’ selepas dia dan adik perempuannya Elie menemu ramah Bekatorou.

“Anda tidak harus berasa takut untuk bersuara atau berasa malu untuk mengecam tingkah laku seorang lelaki yang tidak senonoh,” kata Sude.

Kedua-dua adik-beradik itu telah menetap di kem Moria di pulau Lesbos sebelum ini.

Selepas ia hangus terbakar pada September, mereka merayau-rayau di jalan Athens dan Thessaloniki selama beberapa hari sebelum tinggal di kem Elaionas di ibu negara.

“Sebagai wanita, bahaya muncul di mana-mana, dalam kem perasaan ini lebih ketara. Anda berasa takut untuk pergi ke tandas, berjalan sendirian pada waktu malam,” ujar Elie.

Salah sebuah filem pendek mengisahkan ruang di Lesbos yang diperuntukkan khas untuk wanita untuk mandi dan bersantai.

Satu lagi filem meminta orang yang ditemu ramah mengenal pasti atau memberitahu apa yang membentuk feminisme.

Pada usia 14 tahun, Ataa Brimo dikahwinkan oleh ibu bapanya dengan seorang lelaki yang sembilan tahun lebih tua daripadanya, dan mempunyai anak pertamanya setahun kemudian.

Kini berusia 30 tahun, terkandas di Greece dan terpisah dari keluarganya di Jerman sejak dua tahun lalu, pelarian Syria ini telah menghasilkan filem pendek mengenai perkahwinan golongan di bawah umur yang juga dihadapi oleh ribuan wanita dengan pengalaman sama – dan lebih ramai lagi dengan kisah yang jauh lebih teruk untuk dikongsikan.

Bertajuk Little Mother, filem Brimo telah dipilih untuk Festival Dokumentar Thessaloniki yang dibuka pada Khamis.

“Saya bernasib baik kerana berjumpa dengan seorang lelaki baik. Namun jelasnya saya belum bersedia untuk menjadi seorang ibu pada usia yang begitu muda, saya tidak faham apa yang berlaku pada diri saya,” beritahunya kepada AFP.

Menurut polis Greece, jumlah kejadian keganasan rumah tangga meningkat empat kali ganda di Greece di antara 2010 dan 2018, daripada 1,148 hingga 4,254.

Namun banyak kes yang masih belum dilaporkan.

Minggu lalu, seorang wanita Greece berusia 32 tahun mengaku membunuh isteri lelaki British berusia 20 tahun ketika dia tidur bersebelahan anak perempuan mereka, dan cuba menyembunyikan jenayah itu sebagai rompakan.

“Wanita-wanita muda berkenaan tidak tahu sehingga sekarang apa itu kesamaan jantina,” kata Williams.

“Namun walaupun tanpa mengetahuinya, mereka amat tabah dan merupakan feminis…mereka telah meninggalkan keluarga mereka, persatuan kebapaan, mengadakan kunjungan dan berdepan banyak kesusahan sendirian.”

“Mereka berjuang untuk membangunkan semula kehidupan mereka seperti mana yang diingini oleh mereka,” tambahnya.

Penyelia projek Adriana Theochari berkata bercakap kepada pelarian telah membantu wanita Greece mengatasi ketakutan dan cabaran yang dihadapi mereka.

“Dalam kalangan diri mereka, tanpa kehadiran lelaki, mereka rasa selamat, mereka boleh meluahkan perasaan mereka tanpa sekatan, menangis tanpa berasa malu,” kata Theochari.

“Disebabkan wanita Greece seperti diri saya juga mengambil bahagian dalam sesi berjaya memudahkan integrasi pelarian dan mendorong kepada lebih banyak pemahaman di antara kami.”

“Lagi pun, kami adalah wanita, tanpa mengambil kira latar belakang dan asal-usul kami, dan kami saling memahami diri kami tanpa bertutur dalam bahasa yang sama,” tekannya.

“Bersama, kami rasa lebih kuat, lebih dilengkapi untuk berdepan ketidaksamaan dan diskriminasi yang wujud dalam semua persatuan.” – AFP