Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelarian Rohingya dihalang mendarat di pantai Indonesia

    JAKARTA, 29 JAN – Sekurang-kurangnya 75 pelarian Rohingya tiba dengan kapal di sebuah pantai pelancongan di barat Indonesia hari ini, tetapi mereka dihalang oleh pihak berkuasa daripada turun ke darat, kata pegawai tempatan.

    Kumpulan pelarian terbaharu itu, termasuk empat kanak-kanak, tiba di sebuah pantai di wilayah Aceh pada pukul 2 petang, menurut Rizalihadi, seorang pegawai pentadbiran tempatan.

    “Seramai 75 orang Rohingya Muslim yang tiba di Pantai Leuge. Empat daripada mereka adalah kanak-kanak,” kata Rizalihadi kepada wartawan.

    Anggota keselamatan menghalang pelarian daripada turun ke darat dan memerintahkan mereka untuk tetap berada di atas kapal, menurut seorang wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian.

    “Untuk sementara waktu ini, mereka tidak dibenarkan turun, memandangkan hari ini adalah cuti umum. Banyak aktiviti pelancong sedang dijalankan. Terdapat kebimbangan bahawa mereka mungkin bercampur dengan orang ramai dan melarikan diri,” kata Rizalihadi.

    “Dasar sementara adalah supaya mereka kekal di atas kapal sementara menunggu wakil dari Suruhanjaya Tinggi Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dan Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) tiba.”

    Anggota tentera dan polis telah dikerahkan untuk memantau pantai itu, manakala penduduk setempat mengambil gambar kapal tersebut dan memberi makanan. – AFP

    Orang ramai berkumpul di sekeliling kapal yang membawa pelarian Rohingya yang baru tiba di Pantai Leuge di wilayah Aceh Indonesia kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda