Wednesday, November 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelarian Rohingya memperingati ulang tahun penghijrahan

    COX’S BAZAR, BANGLADESH, 25 OGOS – Puluhan ribu pelarian Rohingya dari Myanmar yang tinggal di kem besar di Bangladesh hari ini menandakan ulang tahun ketujuh penghijrahan besar-besaran mereka, menuntut penghantaran pulang dengan selamat ke negeri Rakhine, Myanmar.

    Para pelarian berkumpul di padang terbuka di kem Kutupalong, daerah Cox’s Bazar dengan membawa sepanduk dan hiasan berangkai berbunyi ‘Harapan adalah Rumah’ dan ‘Kami Rohingya adalah warga Myanmar,’ di bawah hujan pada hari yang diperingati sebagai ‘Hari Genosid Rohingya’.

    Pada 25 Ogos 2017, ratusan ribu pelarian mula menyeberangi sempadan ke Bangladesh dengan berjalan kaki dan menaiki bot di tengah-tengah pembunuhan sembarangan dan keganasan lain di negeri Rakhine, Myanmar.

    Myanmar telah melancarkan tindakan keras kejam berikutan serangan kumpulan pemberontak ke atas pos pengawal. Skala, penganjuran dan kehebatan operasi itu
    membawa kepada tuduhan-tuduhan daripada masyarakat antarabangsa, termasuk PBB, mengenai pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai.

    Perdana Menteri Bangladesh ketika itu, Sheikh Hasina mengarahkan pengawal sempadan membuka sempadan, akhirnya membenarkan lebih 700,000 pelarian berlindung di negara majoriti Muslim itu. Kemasukan itu adalah tambahan kepada lebih 300,000 pelarian yang telah menetap di Bangladesh selama beberapa dekad berikutan gelombang keganasan sebelum ini yang dilancarkan oleh tentera Myanmar.

    Sejak 2017, Bangladesh telah mencuba sekurang-kurangnya dua kali untuk menghantar pulang pelarian dan telah menggesa masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan ke atas Myanmar bagi persekitaran yang aman di dalam negara yang boleh membantu memulakan penghantaran pulang. Hasina juga meminta bantuan daripada China untuk menjadi orang tengah.

    Namun sejak kebelakangan ini, keadaan di negeri Rakhine semakin tidak menentu selepas kumpulan yang digelar Tentera Arakan mula berperang menentang pasukan keselamatan Myanmar.

    Kekacauan yang baharu itu memaksa lebih ramai pelarian melarikan diri ke Bangladesh dan tempat lain dalam langkah terdesak untuk menyelamatkan nyawa mereka.

    Beratus-ratus tentera Myanmar dan pengawal sempadan turut berlindung di Bangladesh untuk melarikan diri daripada keganasan, tetapi Bangladesh kemudian menyerahkan mereka kepada Myanmar secara aman. – AP

    Beratus-ratus pelarian Rohingya berhimpun untuk menuntut penghantaran pulang ketika mereka memperingati ulang tahun ketujuh penghijrahan mereka dari Myanmar di kem pelarian di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda