Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelarian wanita tawar lawatan maya ke tanah airnya

    MILAN – Terpaksa melarikan diri dari Taliban, Fatima Haidari (gambar-AFP) kini menawarkan lawatan maya Afghanistan dari rumah baharunya di Itali, dengan hasil kutipan diperuntukkan bagi menaja kelas-kelas bahasa Inggeris secara rahsia untuk wanita-wanita di Afghanistan.

    Daripada rumah pangsa yang dikongsinya di Milan bersama empat pelajar lain, Haidari memimpin pelancong maya di sekitar bandar barat Afghanistan, Herat, menggunakan aplikasi Zoom untuk menunjukkan kepada mereka masjid besar dengan jubin berkilat, kubu kota dan bazar yang sibuk.

    Wanita berusia 24 tahun itu sebelum ini bekerja sebagai pemandu pelancong di Herat sebelum melarikan diri ketika Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, dan kini sedang belajar politik antarabangsa di Universiti Bocconi, Milan.

    Walau bagaimanapun, dia tetap bersemangat untuk menunjukkan keindahan negaranya kepada orang asing, walaupun hanya sedikit pelancong yang berani melawat negara itu ketika ini.

    “Apabila awda mendengar tentang Afghanistan, awda akan terfikir mengenai perang, keganasan dan bom,” kata Haidari kepada AFP di dapur kecil yang dikongsi dengan empat pelajar lain.

    Haidari semasa berada di Universiti Bocconi di Milan, Itali. – AFP
    Pelarian Afghanistan, Haidari membaca buku di perpustakaan Universiti Bocconi di Milan, Itali. – AFP
    Haidari semasa menyampaikan lawatan maya di Herat, Afghanistan, dari rumahnya di Milan, Itali pada 7 Februari. – AFP
    Gambar fail bertarikh 7 Februari menunjukkan Haidari (dua dari kiri) bercakap bersama kawan-kawannya di luar Universiti Bocconi di Milan, Itali. – AFP
    Pelarian Afghanistan, Haidari bergambar semasa menunggang basikal di sebuah taman di Milan, Itali. – AFP
    Pelarian Afghanistan, Haidari memberikan servis lawatan maya dari kediamannya di Milan, Itali. – AFP
    Haidari semasa mengulang kaji pelajaran di Universiti Bocconi, Milan, Itali. – AFP

    “Saya ingin menunjukkan kepada dunia keindahan negara, budayanya dan sejarahnya.”

    Diatur melalui operator pelancongan British, Untamed Borders, acara tersebut menarik pelancong dari Britain hingga Australia, Jerman dan India.

    Sepertiga dari wang tersebut digunakan untuk kelas-kelas bahasa Inggeris secara rahsia bagi wanita-wanita muda di Afghanistan.

    Taliban telah mengenakan sekatan yang ketat ke atas wanita sejak kembali berkuasa, termasuk menutup sekolah menengah dan universiti bagi gadis dan wanita.

    Haidari sendiri menghadapi cercaan selepas menjadi pemandu pelancong wanita pertama di Afghanistan. Para pemimpin agama tempatan menuduhnya ‘membuat kerja syaitan’, terutamanya apabila menemani lelaki, manakala budak lelaki melemparkan batu kepadanya di jalan.

    Kuasa sebatang pen

    Haidari mempunyai semangat yang tinggi terhadap pendidikan, setelah berjuang sepanjang hidupnya untuk mendapatkan akses kepada buku.

    Membesar di wilayah pergunungan di Ghor, sebagai anak bongsu daripada tujuh adik-beradik, ibu bapanya membuatnya mengembala kambing.

    “Saya akan membawa kambing-kambing itu untuk meragut di sepanjang sungai di mana budak lelaki pergi ke sekolah dan secara senyap-senyap mendengar pelajaran mereka,” katanya mengenang kembali.

    “Kerana saya tidak mempunyai pen, saya menulis di pasir atau di tanah liat.”

    Pada usia 10 tahun, keluarganya yang miskin berpindah ke Herat, di mana mereka tidak mampu menghantar dia ke sekolah.

    Selama tiga tahun, dia bekerja pada waktu malam menghasilkan barangan buatan sendiri seperti pakaian tradisional, bagi mengumpulkan wang yang mencukupi untuk membayar yuran dan buku teks.

    Dia berjaya memujuk ibu bapanya untuk membenarkan dia masuk universiti di Herat, di mana dia mula belajar dalam bidang kewartawanan pada tahun 2019.

    “Mereka mahu saya menjadi isteri rumah yang sempurna. Tetapi saya tidak mahu mengikuti jalan yang sama seperti dua adik perempuan saya dan menghadapi perkahwinan yang diatur,” kata Haidari.

    Pada September tahun lalu, dia menyertai kira-kira 20 pelajar pelarian yang diterima oleh Universiti Bocconi di Milan.

    ‘Ditanam hidup-hidup’

    Dengan memakai selendang hitam dan jaket kulit, kain jeans yang dimasukkan ke dalam kasut but serta laptop di dalam beg di belakangnya, Fatima Haidari kelihatan seperti mana-mana pelajar kampus yang lain.

    Namun, dia tidak pernah melupakan nasib wanita di kampung halamannya.

    “Mereka terkurung dalam rumah, seolah-olah mereka terkunci dalam penjara atau dalam kubur di mana mereka terperangkap,” katanya.

    Haidari adalah seorang anggota komuniti minoriti Hazara di Afghanistan, orang Syiah dalam negara majoriti Sunni yang menjadi sasaran kumpulan Islamic State (IS).

    Apabila Taliban tiba, dia diberitahu oleh pengendali pelancong tempatan tempat dia bekerja bahawa dia mungkin menjadi sasaran, dan melarikan diri.

    “Meninggalkan Afghanistan adalah traumatik. Di lapangan terbang Kabul, ada pemandangan yang mengerikan ketika ribuan orang cuba untuk menaiki penerbangan.

    “Taliban menyerang orang ramai dengan Kalashnikov, peluru melepasi di sekeliling saya dan seorang gadis muda mati rebah di sebelah saya. Saya fikir saya sedang dalam filem seram, tetapi ia adalah kenyataan,” katanya.

    Dia tidak dapat menaiki penerbangan ke Amerika Syarikat dan Poland, tetapi berjaya menaiki pesawat ke Rom.

    Dia masih bermimpi untuk pulang ke rumah ‘untuk menubuhkan agensi pelancongan sendiri dan menggaji wanita sebagai pemandu pelancong’.

    “Tetapi selagi Taliban berada di Afghanistan, ia bukan lagi rumah saya,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda