Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelatih PJD Kohort 9 tamat latihan

    Oleh Sim Y. H.

    TEMBURONG, 7 OKT – Program Jati Diri bermatlamat untuk membentuk sahsiah unggul, menanamkan nilai disiplin serta memupuk semangat cinta agama, bangsa dan negara dalam kalangan belia.

    Program berkenaan merupakan hasil kerjasama erat antara Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM) dan Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), Kementerian Pendidikan melalui Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Kementerian Belia dan Sukan melalui Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN).

    “Ia bukan sekadar aktiviti rutin, bahkan membawa makna yang lebih mendalam, iaitu sebagai usaha kolektif kita untuk melahirkan insan berjati diri kukuh, berakhlak mulia serta berdisiplin tinggi agar mampu menghadapi cabaran kehidupan, khususnya apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak”.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pendidikan Teknik / Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Penutup Program Jati Diri Ke-9 yang berlangsung di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi, Temburong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah serta sijil kepada para peserta program ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Ganmbar atas & bawah, Hajah Tutiaty yang menyempurnakan penyampaian anugerah terbaik kepada para pelatih.

    Dr Haji Mohd Zamri dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan lagi bahawa program itu adalah selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 yang menekankan pembangunan modal insan berkualiti bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik dan kerjaya, malah kaya dengan nilai moral, bersemangat patriotik serta berperanan sebagai ejen perubahan positif dalam masyarakat.

    Beliau menyatakan lagi bahawa generasi muda merupakan aset terpenting negara di mana mereka merupakan ejen utama transformasi sosial dan ekonomi.

    “Dalam era yang semakin mencabar, jati diri yang kukuh akan menjadi benteng untuk kita tidak hanyut dengan pengaruh negatif, sebaliknya kekal teguh pada landasan kebenaran dan nilai murni”.

    “Insan yang memiliki jati diri kukuh akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdaya tahan dan bersedia memikul amanah pembangunan negara.” ulasnya lagi.

    “Inilah teras yang akan membawa kita lebih dekat kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035, melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan memiliki kualiti hidup terbaik di rantau ini”.

    Beliau turut mengongsikan, sejak program ini mula diperkenalkan pada November 2022, seramai 917 orang pelajar IBTE telah berjaya mengikuti Program Jati Diri.

    Seramai 45 orang pelatih yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengikuti program-program iSkills Industrial Skills Qualification (ISQ) di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah berjaya menamatkan Program Jati Diri (PJD) bagi pelajar iSkill Kohort 9 selama 90 hari dan diraikan pada majlis penutup berkenaan.

    Gambar atas & bawah, para peserta program yang diraikan pada majlis berkenaan.

    Pada majlis berkenaan, Hajah Tutiaty turut menyempurnakan penyampaian anugerah kepada pelatih-pelatih terbaik iaitu Pelatih Terbaik Keseluruhan Lelaki, Muhammad Nasy’rul Wafiy bin Haji Hassan, Pelatih Terbaik Keseluruhan Wanita, Nur Syarifah Aida binti Muhammad Safwan, Pelatih Terbaik Kawad Lelaki, Awangku Muhd Hadi bin Pengiran Abdul Rahman, Pelatih Terbaik Kawad Wanita, Nurin Faqehah binti Zul Fakhri, Pelatih Terbaik Jasmani Lelaki, Muhammad Hakeme Yazid bin Said dan Pelatih Terbaik Jasmani Wanita, Nurul Huda binti Ahmad Reduan @ Priyanka Parvani @ Toshani.

    Sebelum menjalani latihan Program Jati Diri, pelatih-pelatih telah terlebih dahulu menamatkan pengajian mereka selama 6 bulan di IBTE dan selepas itu, pelatih akan menjalankan 3 bulan latihan di Registered Training Organisations (RTOs) dan 3 bulan penempatan kerja di dalam industri.

    Beberapa komponen telah ditekankan dalam program berkenaan iaitu komponen jati diri, keagamaan dan kenegaraan, komponen disiplin dan latihan fizikal, komponen keusahawanan serta komponen khidmat komuniti.

    Dengan adanya komponen-komponen berkenaan, para pelatih diharap akan lebih bersedia daripada segi fizikal, mental dan emosi dalam menghadapi cabaran serta rintangan terutama sekali apabila melangkah ke alam pekerjaan yang semakin mencabar.

    Selain menerapkan nilai-nilai moral, pelatih diharap bersedia menggalas tugasan yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi dalam menyumbang kepada diri sendiri, masyarakat, negara serta berperanan sebagai contoh teladan bagi generasi tenaga kerja yang akan datang.

    Di antara ahli keluarga para peserta yang hadir untuk memberikan sokongan kepada peserta program.
    GAMBAR-GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda