Pelawat Brunei, NZ mula dibenarkan ke S’pura

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Pelawat-pelawat dari Negara Brunei Darussalam dan New Zealand tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura bermula kelmarin, hasil persetujuan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua buah negara itu.

Menurut laporan media Singapura, pada perjalanan itu, lima orang pelawat Brunei dan sembilan dari New Zealand tiba selepas permohonan untuk perjalanan ke sana mula dibukakan seminggu yang lalu.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menjelaskan ia meluluskan 59 pe-lawat dari Brunei dan 77 dari New Zealand untuk berlepas ke Singapura setakat jam 5 petang kelmarin.

Brunei mempunyai dua penerbangan ke Singapura setiap minggu dan ini bakal menyaksikan lebih kurang 500 pelawat, namun peningkatan dalam ketibaan pelawat dijangka terhad kerana larangan dan nasihat perjalanan masih lagi berkuat kuasa di kedua-dua negara.

Kerajaan Brunei hanya membenarkan warga, penduduk tetap dan pemegang visa jangka panjang yang perlu menjalani rawatan perubatan di luar negara, menghadiri perbicaraan atau menyambung pelajaran ke luar negara untuk meninggalkan negara ini.

Pelawat diletakkan di bawah Skim Pas Perjalanan Udara yang membenarkan perjalanan santai dan semua perjalanan dalam tempoh singkat. Ia adalah berbeza dengan pengaturan timbal balik laluan hijau antara negara-negara yang layak bagi perjalanan perniagaan dan rasmi.

Menurut laporan itu, Brunei dan New Zealand diberikan kelulusan memandangkan situasi virus di kedua-dua negara ini terkawal dan risiko kes import COVID-19 pula adalah rendah. Pelawat bagaimanapun perlu mengambil ujian swab sejurus tiba di Singapura.

Syarat-syarat lain termasuklah penggunaan aplikasi TraceTogether semasa tempoh tinggal di sana, manakala pelawat yang sudah berada di Brunei atau New Zealand selama dua minggu sebelum kemasukan tidak perlu menjalani Notis Duduk di Rumah.

Pelawat bagaimanapun akan bertanggungjawab bagi bayaran perubatan mereka sendiri jika mereka memerlukan rawatan COVID-19 di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan Singapura bulan lalu.