Wednesday, November 20, 2024
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelawat Piala Dunia terokai seni warisan islam

    DOHA, QATAR – Batu zamrud yang diukir untuk maharaja Mughal, permaidani bulu zaman Safavid, tirai era Uthmaniyyah bersulam dengan benang logam, sebahagian kiswah Kaabah, antara koleksi yang dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Doha (MIA).

    Koleksi-koleksi yang terdapat di MIA, memberikan pengunjung gambaran tentang pelbagai aspek warisan, seni dan pertukangan Islam dengan barangan yang merangkumi tiga benua dan berabad-abad lamanya.

    Di ibu kota yang begitu banyak benda yang serba baharu, muzium ini mempamerkan pelbagai barangan lama dan bersejarah. Dan dengan peminat bola sepak dari seluruh dunia datang ke Qatar, cerita-cerita yang disampaikan oleh muzium itu kini mempunyai lebih ramai pendengar.

    Baru-baru ini, pelawat yang memakai jersi bola sepak atau selendang berhenti untuk mengambil gambar, memeriksa objek, membaca label atau menyemak imbas rak yang dipenuhi buku dan cenderamata.

    “Seni bina itu sendiri sangat bagus. Saya juga suka paparan di dalam; karya-karyanya sangat mengagumkan,” kata Bert Liu dari Amerika Syarikat.

    Pengunjung melihat permaidani Iran di Muzium Kesenian Islam. – AP
    Pengunjung tidak melepaskan peluang melihat secara lebih dekat koleksi kesenian Islam. – AP
    Kelihatan seorang pengunjung melihat koleksi yang dipamerkan. – AP
    Para pengunjung tidak melepaskan peluang mengunjungi Muzium Kesenian Islam. – AP

    Antara yang dipamerkan di Muzium Kesenian Islam. – AP
    Seorang lelaki berdiri di dalam Muzium Kesenian Islam di Doha, Qatar. – AP
    Permaidani daripada Iran antara koleksi yang dipamerkan. – AP

    “Sebelum ini, saya hanya tahu sedikit tentang sejarah Islam tetapi selepas melihat banyak objek, saya banyak belajar.”

    Pegawai Qatar berkata mereka berharap kejohanan itu akan membantu menyediakan pengunjung dengan pemahaman yang lebih baik tentang budaya mereka dan wilayah yang lebih besar. Tuan rumah Piala Dunia telah menghadapi kritikan hebat daripada dunia luar dan tuduhan cuba menggunakan prestij acara itu untuk mengubah imejnya.

    Pegawai Qatar berhujah bahawa kemajuan dan pencapaian negara itu diabaikan. Pemerintah emiriah, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, berkata beberapa serangan ke atas negara Arab dan Islam pertama yang menjadi tuan rumah Piala Dunia termasuk ‘fabrikasi dan dwistandard’.

    Sukan bukan satu-satunya kawasan di mana Qatar, sebuah negara kecil dengan cita-cita besar dan kekayaan yang luas untuk dipadankan, telah berusaha untuk meninggalkan kesannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk pengaruh global.

    Ia juga telah menyasarkan untuk mengukir nama dalam arena budaya dan seni, termasuk dengan muzium seperti MIA.

    “Qatar telah melabur banyak dari segi mewujudkan kedudukannya sebagai hab Timur Tengah untuk budaya dan seni dengan aspirasi kuasa lembut menjadi faktor utama yang mendorong usaha ini,” kata Giorgio Cafiero, Ketua Pegawai Eksekutif Gulf State Analytics, perundingan risiko geopolitik yang berpangkalan di Washington, D.C.

    “Muzium di Doha telah melakukan banyak perkara untuk membantu warga Qatar mempromosikan budaya mereka, menceritakan kisah mereka dan berkongsi perspektif unik dengan masyarakat global.”

    Dan kini, katanya, ramai peminat bola sepak mungkin melawat rantau ini buat kali pertama.

    Qatar tidak bersendirian dalam usaha kebudayaan yang dibiayai dengan baik, dengan negara-negara Teluk lain turut bersaing untuk mendapatkan pelancong ketika mereka berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi mereka.

    “Kami mempunyai cita-cita untuk menunjukkan budaya Islam dalam semua kepelbagaiannya dan juga menunjukkan perbezaan serantau,” kata Julia Gonnella, pengarah MIA.

    “Idea ini benar-benar untuk pendidikan, untuk kepelbagaian, juga untuk membina masyarakat di luar minyak dan gas.”

    Muzium itu menarik pelawat Islam dan bukan Islam, katanya, sambil menambah bahawa ‘pengunjung pertama’ MIA ialah mereka yang tinggal di Qatar.

    Direka oleh arkitek terkenal I.M. Pei, kompleks MIA mempunyai struktur mengagumkan dan ringkas, dengan lokasi tepi laut, bahagian luar berwarna terang dan garis seni bina yang terperinci dan bersih. Bentuk geometri dan motif Islam kelihatan di dalam.

    Koleksi muzium termasuk pertukangan logam, seramik, kayu dan tekstil. Barangan yang dipamerkan termasuk barang kemas, manuskrip Al-Quran, baju besi dan senjata.

    Gabriel Petersen dari Australia, berkata dia kagum dengan usia beberapa objek itu dan gemar melihat pameran dari pelbagai bahagian dunia.

    “Ia hanya budaya yang berbeza,” katanya.

    “Awda tidak mendapat banyak perkara di Australia.”

    Muzium ini juga menawarkan gambaran tentang kepercayaan dan ritual agama.

    Pengunjung boleh membaca tentang lima rukun Islam atau belajar tentang ibadat haji dan amalan pengebumian yang berbeza dalam Islam.

    Mula dibuka pada 2008, muzium ini ditutup pada April 2021 dan dibuka semula sebulan sebelum Piala Dunia dengan

    bahan terjemahan yang diperluaskan untuk membantu menyediakan lebih banyak konteks untuk barang yang dipamerkan.

    Pameran sementara bertajuk Baghdad: Eye’s Delight meraikan ibu kota Iraq sebagai salah satu bandar paling penting dan berpengaruh di dunia Islam dan menonjolkan peranannya sebagai bandar berkuasa, keilmuan dan kekayaan, menurut pameran itu menampilkan objek pinjaman daripada institusi terkenal dunia, kata MIA.

    Rob Humphreys, seorang pelawat dari Wales, berkata dia sangat suka melihat Baghdad dari sudut yang berbeza.

    “Sekurang-kurangnya di Eropah, kita cenderung untuk mengaitkan Baghdad dengan peperangan dan sebagainya dan pencerobohan,” katanya.

    “Mempelajari tentang betapa pentingnya Baghdad sebagai sebuah bandar budaya dan saintifik dan perdagangan … benar-benar menarik.”

    Catrin Evans, isterinya, mengagumi kualiti pertukangan sejak berabad-abad lamanya dalam koleksi MIA dan mengang0gap kaligrafi, perhiasan dan naskhah Al-Quran adalah mempesonakan.

    “Kami cenderung untuk memikirkan segala-galanya dalam perspektif Eropah, Barat,” katanya.

    “Ini sudah tentu membuka mata saya kepada latar belakang Islam dan juga budaya di sini.”

    Pada satu ketika, pasangan itu terfikir untuk tidak datang ke Qatar untuk Piala Dunia kerana bimbang tentang isu hak.

    “Kami datang untuk belajar, tetapi ini tidak bermakna kami meletakkan nilai kami ke satu pihak semasa kami berada di sini,” kata Humphreys, sambil menambah pertukaran budaya juga penting kepada mereka. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda