Friday, November 15, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelayang Australia dibayar untuk bermain Wau

    PASIR GUDANG – Bagi sesetengah pelayang, mereka mampu memperoleh ganjaran besar menerusi minat mereka dalam permainan layang-layang. “Saya dibayar untuk bermain wau,” demikian kata seorang pelayang daripada Australia, Michael George Alvares, 65.

    Beliau yang telah menceburkan diri dalam permainan layang-layang selama 33 tahun merupakan peserta Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Ke-21 yang bermula semalam. Beliau yang sudah sebelas kali menyertai kejohanan itu menyifatkan Pasir Gudang sebagai rumah keduanya.

    “Saya sudah bermain wau selama 33 tahun dan sejak itu ia menjadi karier saya. Saya adalah pensyarah kebudayaan di sebuah universiti swasta dan saya tidak pernah gagal membeli wau untuk pelajar saya bagi membolehkan mereka mengenal budaya orang lain.

    “Saya selalunya dibayar untuk menunjukkan permainan wau setiap hujung minggu di sekolah rendah dan menengah menerusi koleksi besar wau saya yang saya kumpul daripada negara seperti Malaysia, Jepun, Afrika dan India,” katanya.

    Mengenai falsafah tentag wau,   Alvares berkata wau boleh dilihat sebagai satu bentuk budaya yang mewakili masyarakat yang turut digambarkan dengan kepelbagian saiz dan rekabentuknya. “Apa yang saya pelajari di Afrika, wau ialah satu bentuk komunikasi suci dengan tuhan-tuhan. Masyarakat Aslinya percaya wau akan membawa doa mereka ke langit dan inilah keindahan yang saya cari dalam bermain wau,” katanya.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong (dua, kiri) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) A.Rahim Nin (tengah) melihat hasil seni ukiran wau salah seorang peserta Pertandingan Bengkel Membuat Wau peringkat Kebangsaan ketika melawat bengkel itu dalam Program Walkabout Festival Layang-Layang Sedunia 2017 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang. – Bernama
    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong (dua, kiri) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) A.Rahim Nin (tengah) melihat hasil seni ukiran wau salah seorang peserta Pertandingan Bengkel Membuat Wau peringkat Kebangsaan ketika melawat bengkel itu dalam Program Walkabout Festival Layang-Layang Sedunia 2017 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang. – Bernama

    Bagi Presiden Persatuan Layang-layang Minangkabau Sumatra Barat, John Chaniago, 53, berkata ini merupakan kali ke-10 beliau mengambil bahagian dalam festival berkenaan.

    “Selain layanan tuan rumah dan semua pesertanya ramah-tamah, pembabitan dalam festival seumpama ini boleh memberi peluang kepada peserta untuk bertukar-tukar pendapat dan ilmu berkaitan minat terhadap layang-layang.

    “Dalam setahun, saya akan menyertai sekurang-kurangnya lima festival layang-layang antarabangsa dan sudah banyak kali ke luar negara termasuk Itali dan Australia,” katanya yang membawa 20 layang-layang bercirikan Indonesia untuk diterbangkan pada festival  kali ini.

    Di Festival Pasir Gudang kali ini, antara layang-layang yang mencuri perhatian ialah yang berbentuk manusia menunggang basikal yang lengkap dengan gerakan mengayuh basikal.

    Pemiliknya Hei Ge, 50, dari Tian Jin, China berkata beliau menghabiskan masa lebih daripada sebulan untuk menghasilkan layang-layang berbasikal itu. “Ini merupakan kali pertama saya mencipta layang-layang basikal yang boleh bergerak kerana ia memerlukan kajian yang lama untuk memastikan ia boleh diterbangkan angin.

    “Memang banyak kali gagal, tetapi saya tidak menyerah kalah sehingga layang-layang ini tercipta. Ini juga merupakan kali pertama saya menyertai festival ini,” katanya. Festival kali ini yang berakhir esok disertai 1,054 pelayang tempatan dan 222 pelayang dari 40 buah negara seperti China, Indonesia, Australia, Jepun, Singapura, Jerman, Perancis, England, Poland, England, Russia, Ukraine, Thailand, Amerika Syarikat, Brazil, Sri Lanka, Estonia dan Ireland. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda