Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Sept – Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, melalui acara Kuala BelaitKu Ceria (KBKC) bulan September ini telah menyediakan pelbagai acara termasuk permainan, promosi kesihatan dan sebagainya di kawasan Taman Jubli Perak Jalan Maulana di sini, hari ini.
Penguasa Letak Kereta, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Zamrin bin Haji Kepli semasa ditemui Media Permata memberitahu bahawa penglibatan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Program Nandong Mekar turut memeriahkan lagi acara KBKC pada hari ini.
Tambah beliau, buat pertama kali, jabatan tersebut telah mengundang Angkatan Tentera British yang juga mempromosikan cara hidup sihat dengan mengongsikan cara penjagaan tubuh badan serta mengelakkan penyakit Denggi melalui pendekatan mereka dan sebagainya.
Turut memeriahkan lagi acara tersebut ialah pertandingan tarik kalat, boling padang dan sebagainya di mana acara-acara tersebut dibukakan secara percuma kepada orang ramai dan juga ruang turut disediakan untuk para peniaga yang sekali gus memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana untuk meningkatkan ekonomi mereka dan merapatkan lagi tali silaturahim.
Sementara itu, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad menjelaskan, perkembangan dari segi acara dan sebagainya akan dipelbagaikan dan ianya mesti terus diselitkan dengan pameran-pameran yang berunsurkan pengetahuan dan kesedaran, seperti dari segi kesihatan, kehijauan, alam persekitaran dan sebagainya kepada orang ramai terutama sekali penduduk di daerah ini, dan tambahnya, perancangan dan kajian juga terus dilakukan untuk mengenal pasti apa yang diminati oleh orang ramai.
Manakala Sarjan Keshar Bahadur Thapa Magar, daripada Batalion Kedua, Tentera Diraja Gurkha Rifles Seria yang mengetuai Program Pameran Kesihatan dan Pemakanan Sihat, memberitahu, buat pertama kali mereka menyertai acara KBKC dan mereka menerima respons yang positif daripada orang ramai yang begitu berminat untuk mengetahui tentang kesihatan terutama dari segi senaman gimnasium dan sebagainya.
Acara seumpamanya ini bertujuan untuk menjana dan meningkatkan aktiviti perekonomian sekali gus menarik minat orang ramai dan pelancong berkunjung ke Daerah Belait.

