Wednesday, February 12, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagai acara meriahkan Program Bandarku Ceria

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan, Bahagian Pendidikan Swasta, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Jabatan Kenaziran Sekolah-sekolah dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan Institusi Pendidikan Formal Swasta, pagi tadi telah memeriahkan acara Bandarku Ceria dengan aktiviti ‘Heritage Walk’ yang digelar Jejak Kenangan dan Jejak Ristaan di sekitar kawasan ibu negara dan aktiviti ‘Permainan Kenangan Silam’.

    Hadir menyempurnakan perasmian acara pagi tadi ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan ialah Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah.

    Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee; Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan/ Ketua Bahagian Pendidikan Swasta, Hajah Noridah binti Abdullah dan Ketua Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi selaku Pemangku Pengarah Jabatan Kenaziran Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli.

    Majlis pagi tadi juga menyaksikan tetamu kehormat menyaksikan pembukaan acara dengan permainan tarik upih dan permainan kaki tiga.

    Menurut Hajah Anis Faudzulani, matlamat ‘Heritage Walk’ ialah untuk mendalami dan mempelajari sejarah negara kita dan memupuk kesedaran dan kefahaman terhadap betapa pentingnta masyarakat untuk sama-sama memelihara dan mengingati pembangunan silam bandar kita.

    Dayang Nadia Lee Siew Hoon semasa menyertai ‘Heritage Walk’.

    ‘Heritage Walk’ pagi tadi menyaksikan tetamu kehormat majlis serta orang ramai berjalan di kawasan yang dikenali ramai di ibu negara seperti di Makam Raja Ayang, Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan, Tapak Pejabat Pos Besar (Tapak Istana Majalis) dan banyak lagi.

    Beliau menyatakan lagi bahawa orang ramai yang berkunjung ke Bandarku Ceria juga turut berkesempatan untuk mengetahui sejarah lama dan latar belakang sebelum terbinanya bangunan-bangunan yang boleh dilihat pada masa kini.

    Selain itu ianya bertujuan untuk mengimbau kembali kenangan sejarah yang telah membuktikan keberadaan Bandar Seri Begawan, pengorbanan yang dicurahkan serta peninggalan sejarah raja-raja kita dahulu.

    Inisiatif ini juga akan turut mewujudkan kesedaran dan kefahaman di kalangan masyarakat kita terutama anak-anak muda akan peninggalan warisan ketamadunan dan sejarah lama tersebut akan tidak luput dan hilang ditelan arus pembangunan yang kian pesat.

    Manakala bagi ‘Permainan Kenangan Silam’, Kementerian Pendidikan turut menyediakan pelbagai permainan tradisional seperti main tarik upih, main kuit, main lompat gatah, main lari guni dan main tinting untuk memberikan pengunjung peluang merasai kembali akan keseronokan dan nostalgik bermain permainan tradisional serta mengembalikan kegemilangan permainan berkenaan suatu ketika dahulu.

    ‘Permainan Kenangan Silam’ juga disertai oleh beberapa sekolah dan institusi pengajian tinggi antaranya Sekolah Menengah (SM) Nusa Laila Puteri, Jangsak, Kolej Antarabangsa Micronet, SM Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, SM Chung Hwa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda