Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Festival Keluarga sempena Hari Keluarga Kebangsaan Tahun 2022 anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia, dan Sukan (KKBS) akan diadakan pada 16 hingga 18 Disember ini di Kawasan Luar Hab Tenaga Brunei, Dermaga Diraja, ibu negara.
Festival yang menyelitkan acara Fun at the Hub yang diungkayahkan oleh Jabatan Muzium-muzium dan Spark Co Sdn Bhd itu akan diisi dengan pelbagai pameran, jualan dan aktiviti-aktiviti serta hadiah cabutan bertuah yang menarik untuk dimenangi seperti tiket penerbangan, penginapan hotel, kupon permainan dan banyak lagi.
Pada 16 Disember, jam 2:30 petang hingga 6 petang sesi Family Conversation akan diadakan yang menyentuh mengenai pandangan orang ramai mengenai program-program pengukuhan institusi keluarga di Negara Brunei Darussalam.
Pada pukul 7:45 malam sesi My To-do-List akan diadakan iaitu aktiviti di mana kanak-kanak akan menyelesaikan senarai tugasan yang akan diberikan.
Pada 17 Disember bermula 2:30 petang hingga 5 petang, sesi Permainan Tradisi diadakan di mana kanak-kanak berpeluang mengetahui dan menyertai permainan seperti congkak, salok-salokan, buah lapas-lapas dan pasang.
Pada 18 Disember, bermula pukul 2:30 petang hingga 6 petang, sesi Family Connectedness diadakan iaitu permainan keluarga akan menampilkan empat permainan.
Orang ramai diharap dapat sama-sama memeriahkan festival tersebut nanti.










