Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 3 SEPT – Pelbagai aktiviti telah memeriahkan acara SeriaKu Ceria yang diadakan selama empat hari di Taman Rekreasi Makmal Tenaga Seria (SEL).
Dianjurkan sebagai usaha kerjasama antara SEL dan RYS Entertainment, acara juga menyaksikan 39 usahawan tempatan membuka gerai jualan.
Hadir merasmikan SeriaKu Ceria malam tadi ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad yang dialu-alukan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan RYS, Foo Kian Ming.
Turut hadir ialah Pengarah Komersial Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Haji Mohd Azmi bin Haji Mohd Hanifah; Penasihat Pelaburan Sosial BSP, Dayang Siti Amalina binti Harun, dan Ketua SEL, Dr Nur Karnina Karim.
Selepas merasmikan SeriaKu Ceria dengan menyalakan logo, Haji Amirol Hafidzin turut meninjau gerai-gerai dan pameran yang didirikan oleh agensi-agensi kerajaan dan kumpulan tempatan untuk orang ramai mengetahui peranan mereka melalui permainan dan aktiviti.
Selain itu, beliau turut menyertai aktiviti berjalan malam di sekitar taman rekreasi tersebut.
SeriaKu Ceria dipenuhi keseronokan dengan menampilkan pelbagai aktiviti pendidikan, hiburan, seni dan sukan, serta pelbagai vendor makanan dan kraf tempatan.
Walaupun RYS Entertainment terlibat secara aktif dalam penganjuran KBku Ceria, tahun ini merupakan kali pertama Seriaku Ceria diadakan, dan mereka berharap untuk mengadakan acara serupa pada masa akan datang bagi penduduk di Seria.