Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
Tahun lepas menyaksikan pembukaan sesi persekolahan dibuat secara berperingkat dan menjalani ujian pantas antigen (ART) di dewan sekolah masing-masing.
Tahun ini, suasana hari pertama persekolahan sudah hampir normal sepenuhnya sama seperti sebelum terjadinya penularan wabak, di mana pelbagai aktiviti telah diadakan bagi menyambut kedatangan para pelajar ke sekolah.
“Pihak sekolah ada menyediakan beberapa aktiviti untuk penuntut, di mana jabatan-jabatan memberikan aktiviti berunsur ice-breaking pada hari pertama dan kedua,” jelas Penolong Guru Kanan Akademik, Sekolah Menengah Lambak Kiri, Dayang Nor Azimah binti Haji Mohammad semasa ditemui Media Permata di sekolah tersebut.
“Pihak pentadbiran juga ada menyediakan beberapa program seperti mengenalkan semula siapa guru-guru mereka dan juga mengenai peraturan sekolah,” tambahnya yang juga merupakan guru mata pelajaran Commerce.
Menurut beliau, pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan melalui guru-guru kelas juga ada menghantar mesej kepada para penuntut mengenai persediaan untuk hari pertama persekolahan.
“Pihak sekolah juga ada menyediakan banner untuk menyambut kedatangan penuntut pada hari pertama ini,” tambah beliau.
Seperti lazimnya di sekolah tersebut, Dayang Nor Azimah menjelaskan semasa perhimpunan pada waktu pagi, program keagamaan diadakan seperti berzikir, menunaikan solat sunat Dhuha dan Hajat bagi penuntut-penuntut dan warga sekolah.
“Pihak sekolah juga menjalankan program bacaan Surah Yaasin beramai-ramai semasa perhimpunan pagi ini,” tambahnya yang sudah pun bertugas di sekolah tersebut sejak 14 tahun yang lalu.
Walau bagaimanapun, beliau juga menekankan bahawa pihak sekolah tetap menjalankan prosedur operasi standard (SOP) di mana warga sekolah termasuk penuntut yang kurang sihat atau mengalami gejala disarankan untuk berada di rumah dan membuat ART mereka serta melaporkannya ke pihak sekolah seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.
Penulis turut berkesempatan menemu bual salah seorang pelajar Sains Tahun 11, Awangku Mohammad Ali Syalihin bin Pengiran Mohammad Ali Redzuan menjelaskan beliau berasa gementar kerana tahun ini akan menduduki peperiksaan ‘O’ level.
“Saya akan meminta tips daripada guru-guru saya, dan juga saya akan mengulang kaji pelajaran serta membuat nota ringkas dan juga menjawab kertas-kertas ujian tahun-tahun sebelumnya,” jelasnya yang juga merupakan seorang Pembimbing Rakan Sebaya.
Awangku Mohammad Ali Syalihin turut berkesempatan menasihatkan rakan seperjuangannya untuk mencuba sedaya upaya mereka dan lakukan apa sahaja yang mungkin dalam persedia0an peperiksaan nanti.
Di hujung temubual, beliau mengongsikan harapannya untuk mendapatkan 8 ‘O’ Level nanti, dan berharap akan meneruskan pelajaran ke pusat tingkatan enam.
