Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagai aktiviti serikan Hari Keluarga Kebangsaan

    Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim

    KUALA BELAIT, 30 Dis – Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2018 Gabungan Mukim-mukim Pedalaman Daerah Belait yang berlangsung di Taman Rekreasi Kampung Sungai Mau, Mukim Bukit Sawat mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan telah diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik.

    Majlis yang dimeriahkan oleh Mukim Liang, Mukim Bukit Sawat, Mukim Labi, Mukim Sukang dan Mukim Melilas berkenaan dengan kerjasama BMC, Jabatan Daerah Belait dan JPM telah dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dalam temu bual ringkas menjelaskan mengenai kepentingan keluarga dalam membina komuniti, masyarakat dan negara yang bersatu.

    “Sebagai sebahagian daripada tiang penting pada keluarga itu, kepentingan institusi kekeluargaan itu perlu dijaga dengan sebaiknya, oleh itu perayaan seperti ini menawarkan peluang terbaik untuk melakukannya,” jelasnya.

    “Hari ini, saya sangat teruja untuk menyertai beberapa aktiviti yang disediakan dan menyaksikan penduduk di sekitar sini datang beramai-ramai sebagai komuniti bersatu bagi memastikan semua orang boleh bergembira di acara dua hari ini,” tambahnya.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan juga menegaskan bahawa keraian hari keluarga tidak semestinya hanya diraikan pada bulan Mei, tetapi diraikan bila-bila masa bagi mengukuhkan hubungan dan keharmonian sesebuah keluarga dana masyarakat.

    Selain aktiviti fizikal, sambutan berkenaan turut diperkasakan dengan solat Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, Doa Khas Hari Keluarga dan tazkirah di Masjid Al-Mashhor Kampung Sungai Mau.

    Sambutan pada hari ini pula diteruskan dengan solat Fardu Subuh berjemaah dan Kayuhan Basikal Keluarga diikuti dengan Pertandingan Menumpah Ambuyat, Menutuk Sambal, pameran makanan tradisi, Pertandingan Gulintangan, tarik kalat, futsal, pesta sungai dan Gerai Jualan 1K1P.

    Hari Keluarga Kebangsaan 2018 Gabungan Mukim-mukim Pedalaman Daerah Belait berlangsung meriah di Taman Rekreasi Kampung Sungau Mau, Mukim Bukit Sawat yang diserikan dengan pelbagai aktiviti antaranya acara tarik kalat yang disertai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika merasmikan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2018 Gabungan Mukim-mukim Pedalaman Daerah Belait.
    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyertai Kayuhan Berbasikal Keluarga semasa Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2018 Gabungan Mukim-mukim Pedalaman Daerah Belait.
    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan beramah mesra dengan salah seorang peserta cilik silat di acara tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda